Pejabat bergerak JKM ke Sungai Asap sekali dalam dua bulan

0

BELAGA: Penduduk tidak lagi perlu ke Bintulu untuk berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) apabila pejabat bergerak akan datang ke Sungai Asap sekali dalam dua bulan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, beliau telah mengeluarkan arahan kepada Ketua Pengarah JKM Malaysia untuk mengambil tindakan segera berhubung pejabat satelit tersebut.

“Penduduk tidak lagi perlu ke Bintulu tetapi pejabat bergerak akan datang ke Sungai Asap sekali dalam dua bulan dan segala permasalahan boleh dibawa ke pejabat kecil Sungai Asap untuk diselesaikan,” katanya ketika berucap pada Pesta Ubek di Dewan Masyarakat Sungai Asap dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam,.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB) Datuk Torstein Dale Sjotveit, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Chuk Pai Ugon, Pengerusi Persatuan Peng Doh Belaga Datin Seri Devong Anyie, Ketua Pengarah JKM Malaysia Zulkipli Ramli dan Pemanca Umek Jeno.

Rohani berkata, pihaknya turut bercadang membuat pembaharuan di mana pembayaran akan dibuat terus di pejabat tersebut agar penduduk tidak perlu melalui perjalanan jauh ke Bintulu.

Menurut beliau, maklum balas daripada ketua-ketua masyarakat, ketua-ketua kampung boleh dikemukakan kepada pegawai yang akan berada di pejabat daerah kecil setiap dua bulan sekali.

“Mungkin ini satu hadiah daripada kementerian saya kepada semua masyarakat di Sungai Asap sempena hari yang sangat bermakna dan bahagia ini,” katanya.

Perkhidmatan tersebut boleh dilaksanakan dengan secepat mungkin bergantung kepada kesediaan Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap dan pihak berkaitan di kawasan tersebut.

Pesta Ubek adalah untuk menyambut kedatangan Perayaan Gawai Dayak yang akan disambut pada 1 Jun setiap tahun yang dinamakan Do Ledoh dalam bahasa Kayan.

Ia diadakan untuk merayakan satu hari khas untuk warga emas iaitu penduduk penempatan semula Bakun.