Wong tenang meskipun pelantikannya sebagai menteri dipersoal

0

KUCHING: Dato Sri Wong Soon Koh kekal tenang dan tidak terganggu meskipun pelantikannya sebagai menteri kabinet negeri dipersoal apabila belum menyertai parti komponen BN secara rasmi.

Beliau yang merupakan Menteri Kewangan Kedua berkata, pelantikan itu adalah atas budi bicara Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Saya berada di sini (dalam kabinet) untuk menggalas apa sahaja tugas diberikan kepada saya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi bersama Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing dalam laporan The Borneo Post semalam yang menyatakan pentadbiran negeri harus dianggotai ahli parti komponen BN.

“Saya ingin tahu parti mana Dato Sri Wong Soon Koh yang dilantik semula sebagai Menteri Kewangan Kedua wakili,” katanya dipetik sebagai berkata.

Wong yang merupakan bekas presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) meninggalkan parti mesra BN berkenaan untuk bertanding sebagai calon langsung BN di kerusi Bawang Assan.

Beliau berjaya mempertahankan kerusi itu apabila menang dengan majoriti 4,131 undi mengalahkan Chiew Sung Ngie daripada DAP yang meraih 4,884, Wong Sing Wei dari STAR (100) manakala dua calon bebas, Yeu Bang Keng (569) dan Watson Bangau Jonathan Renang (63).

Wong ketika diminta mengulas mengenai nama parti politik yang terbentuk susulan penggabungan SPDP dan UPP kelak memberitahu, ia dalam proses memuktamadkan.

Menurut beliau, apa yang pasti buat masa ini adalah kedua-dua parti memang berhasrat untuk bergabung dan perkara itu sedang dalam perbincangan.

“Kami masih dalam proses pembincangan dan memuktamadkan (penggabungan parti),” katanya.