Penjawat awam rugi RM6,000 kediaman dipecah masuk

0

SIBU: Seorang pegawai kanan kakitangan awam kerugian melebihi RM6,000 wang tunai selain harta benda ketika keluar rumah hanya kurang tiga jam malam kelmarin.

Kejadian itu disedari oleh pengadu, 50-an selepas pulang ke kediaman di Jalan Meludan dekat sini hampir jam 9 malam.

Mengesyaki sesuatu mencurigakan, pengadu terus menghubungi polis.

Setiba pihak polis di rumahnya, pengadu terus melakukan pemeriksaan dan mendapati pintu dapur di bahagian belakang rumah telah diumpil.

Pengadu percaya ada orang tidak dikenali memasuki rumahnya untuk mencuri semasa dia berada di luar sebelum itu.

Selain wang tunai, pelbagai jenis barang kemas, komputer riba, Ipad dan beberapa botol minuman turut dilapor hilang.

Jumlah nilai kerugian tidak dapat dipastikan dan kes tersebut kini dalam siasatan dan tindakan lanjut pihak polis.

Sementara itu dalam kes yang tidak berkaitan seorang lelaki warga tua, 60-70-an mendakwa dompetnya yang mengandungi wang tunai berjumlah RM120 telah diseluk ketika berada di Pasar Sentral pagi semalam.

Mangsa kemudian pergi ke balai polis untuk membuat laporan sejurus selepas menyedari kehilangan dompetnya.