Bangun kediaman pinggir bandar lebih sistematik

0
SELAMAT DATANG: Abang Johari disambut penduduk Kampung Kudei Baru Iban, semalam.

SELAMAT DATANG: Abang Johari disambut penduduk Kampung Kudei Baru Iban, semalam.

Perancangan jangka masa panjang dibuat pastikan keselesaan penempatan penduduk pinggir bandar

Oleh Rusnan Mustafa //

KUCHING: Pembangunan kawasan pinggir bandar bakal dikaji semula untuk memastikan ia lebih tersusun dan teratur, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau memberitahu satu perancangan jangka masa panjang dibuat bagi memastikan penempatan penduduk pinggir bandar dapat dibangun dengan lebih sistematik demi keselesaan penduduk kawasan tersebut.

“Kampung kita di pinggir bandar hendaklah kita rancang dengan baik, maknanya kawasan pinggir bandar akan dikaji semula untuk kita rancang lebih tersusun dan kawasan pinggir bandar ini termasuk Kampung Kudei, Sungai Maong dan Segedup,” katanya yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pra-Gawai 2016 sempena majlis perasmian penyiapan projek naik taraf Balai Raya Kampung Kudei Baru di sini, semalam.

Abang Johari memberitahu perancangan jangka masa panjang melibatkan penelitian terhadap usaha membangun tempat tinggal atau kawasan perumahan mampu milik untuk rakyat Sarawak berhijrah dan tinggal di bandar.

Tambahnya lagi, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memperuntukkan dana yang tinggi untuk membangun kawasan pinggir bandar dan luar bandar negeri ini.

“Sebab itu wujudnya Kementerian Perumahan dan Urbanisasi ini termasuk kementerian di bawah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Beliau menjelaskan antara perancangan pembangunan yang dilaksana adalah rumah pangsapuri mempunyai sistem lif dan ruang luas mampu milik di pinggir bandar.

Selain itu, Abang Johari berkata, sistem pembetungan di kawasan kampung di pinggir bandar juga dirancang bagi memastikan sistem pengairan dan saliran baik.

Beliau juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan memberitahu keharmonian dan perpaduan yang ada di negeri ini telah menjamin sebuah kerajaan yang kukuh.

“Oleh itu, saya berharap keharmonian dan perpaduan kalangan kita ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dapat dipertahankan.

“Malah, suasana kehidupan kita ini dikagumi Duta Vatican Uskup Agung Joseph Salvador Marino yang datang melawat ke Sarawak baru-baru ini,” ujarnya.

Hadir sama Pengerusi Majlis Pra-Gawai Ketua Kaum Sangi Abu dan tetamu kehormat lain.