Masyarakat makin sedar bahaya panggilan palsu

0

Selain kesedaran, tindakan MERS tapis panggilan antara faktor

IPOH: Masyarakat kini semakin sedar mengenai bahaya serta tindakan undang-undang yang menanti jika membuat panggilan palsu kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Perak Datuk Yahaya Madis berkata kesedaran itu terbukti apabila sepanjang tahun lalu, pihaknya hanya merekodkan dua panggilan palsu.

Katanya angka itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan panggilan palsu yang diterima pada tahun 2014 iaitu sebanyak 56 kes.

“Sejak Januari hingga bulan lalu pula, kita hanya menerima satu panggilan palsu di balai Kampar yang mendakwa berlaku kebakaran di kawasan berhampiran,” katanya kepada pemberita selepas program Kayuhan Muhibbah dan gotong-royong sempena sambutan Hari Bomba Sedunia 2016 Peringkat negeri Perak di sini semalam.

Yahaya berkata selain faktor kesedaran, pengurangan panggilan palsu itu turut berkait rapat dengan tindakan Perkhidmatan Maklum Balas Kecemasan Malaysia (MERS) yang menapis panggilan sebelum diserahkan kepada pihak bomba.

Dalam perkembangan lain, Yahaya menasihati orang ramai supaya berhati-hati apabila beriadah di kawasan pantai, sungai atau air terjun terutama pada musim hujan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

“Setakat Mei ini terdapat sembilan kes mati lemas iaitu empat di sungai atau tali air, dua kes dalam tasik atau lombong dan tiga kes di kawasan air terjun dan jeram,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai agar menggunakan jaket keselamatan atau pelampung selain meminta nasihat daripada masyarakat setempat tentang keadaan di satu-satu kawasan perkelahan.

“Sentiasalah ambil langkah berhati-hati walaupun kepada mereka yang tahu berenang kerana perkara ini tidak boleh dijangka dan bahaya boleh jadi dalam sekelip mata,” katanya.

Mengikut rekod, sebanyak 40 kes kematian akibat lemas direkodkan di Perak sepanjang tahun lalu. — Bernama