Kerajaan terus komited lindungi, pelihara hutan

0
SIMBOLIK: Wan Junaidi (tengah) bersama Dr Abdul Rahman (kiri) dan tetamu jemputan lain selepas penyempurnaan ‘Mobile CTC’ di Kuching, semalam.

SIMBOLIK: Wan Junaidi (tengah) bersama Dr Abdul Rahman (kiri) dan tetamu jemputan lain selepas penyempurnaan ‘Mobile CTC’ di Kuching, semalam.

Ia termasuk mengetatkan penguatkuasaan bagi perangi pembalakan haram, tangani isu keperluan infrastruktur

Oleh Siti Aisyah Ramli //

KUCHING: Kerajaan terus komited melindungi serta memelihara lebih 50 peratus daripada keseluruhan jumlah hutan di negara ini termasuk mengetatkan penguatkuasaan bagi memerangi pembalakan haram selain menangani isu keperluan infrastruktur.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar,  beberapa pendekatan dan langkah telah diambil oleh kerajaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri bersama agensi-agensi berkaitan memastikan penguatkuasaan dijalankan.

“Di negeri kita (Sarawak) sebagai contoh, kita telah melatih renjer hutan tempatan dengan sesi latihan tambahan yang turut dibantu oleh Jabatan Perhutanan.

“Pada masa sama, di bawah kepimpinan serta pentadbiran Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem), kerajaan Sarawak komited  memastikan hutan di sini dilindungi dan tidak ada lesen pembalakan baharu yang dikeluarkan, selain pembatalan lesen kepada pemegang lesen balak sedia ada sekiranya mereka melanggar undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) di Pulau Salak di sini, semalam.

Ketika ditanya pemberita mengenai saiz hutan yang diperuntukkan untuk tujuan pembangunan, Wan Junaidi memberitahu, di Semenanjung Malaysia sahaja, sebanyak 86,000 ekar hutan telah digunakan untuk tujuan itu.

“Bagaimanapun, di Sarawak, kerajaan telah berjaya memelihara kira-kira 68 peratus daripada hutan asli dan kita juga percaya bahawa pendekatan yang diambil oleh Adenan akan memastikan situasi pada masa sekarang akan terus dipelihara,” jelasnya.

Mengenai majlis itu, beliau menyambut baik program ‘Mobile CTC’ di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) tersebut dalam meningkatkan perkhidmatan awam dan dan penyampaiannya agar terus sampai kepada golongan sasar.

“Konsepnya (Mobile CTC) sama dengan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang terletak di pusat bandar, justeru ia turut dibina di kawasan luar bandar untuk kemudahan penduduk yang tinggal di sini.

“Menerusi Mobile CTC ini juga, sesiapa yang tinggal di kawasan luar bandar tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk pergi ke jabatan dan agensi berdekatan untuk mendapatkan apa juga perkhidmatan, tetapi kini, kita bawakan perkhidmatan kepada mereka,” jelasnya.

Tambahnya, ‘Mobile CTC’ amat bersesuaian dengan keadaan geografi negeri yang mencabar selain lokasi-lokasi lain yang sukar diakses seperti Sarawak.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Muda Elektrik dan Telekomunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan Pegawai Kewangan Persekutuan Negeri Datu Jabidah Monseri.