Skuad boling padang Sarawak muncul juara Kejohanan Pra-SUKMA

0
GEMBIRA: Atlet boling padang Sarawak meraikan kejayaan selepas dinobatkan juara bersama Abdul Haris (lima kanan) dan Poniman (tiga kanan).

GEMBIRA: Atlet boling padang Sarawak meraikan kejayaan selepas dinobatkan juara bersama Abdul Haris (lima kanan) dan Poniman (tiga kanan).

KUCHING: Skuad boling padang Sarawak meraih tonik berharga dalam persiapan untuk menghadapi SUKMA Ke- 18 yang akan berlangsung dari 22 hingga 31 Julai 2016.

Ia susulan kejayaan memenangi Kejohanan Pra-SUKMA yang melabuhkan tirai di Arena Boling Padang Sarawak kelmarin.

Tuan rumah memastikan kejuaraan milik mereka selepas memenangi lima daripada lapan kategori yang dipertandingkan iaitu perseorangan lelaki, berempat lelaki, berempat wanita, berpasangan wanita dan bertiga wanita.

Wakil dari utara Semenanjung Malaysia, Perlis menduduki tempat kedua selepas memenangi kategori berpasangan lelaki, bertiga lelaki dan perseorangan wanita.

Skuad pelapis Sarawak yang berjaya memberikan tentangan sengit sepanjang kejohanan menduduki tempat ketiga.

Hadiah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak Abdul Haris Ishak bersama Timbalan Presiden Persatuan Boling Padang Sarawak (SALBA) Poniman Bejok.

Hadir sama Presiden SALBA Awang Mahyan Awang Mohamed, Naib Presiden II Persekutuan Boling Padang Malaysia (MLBF) Datuk Mohd Shukri Ali dan Penasihat Teknikal MLBF Kapten Ahmad Shah.

Dalam ucapan penutupan, Poniman merakamkan setinggi- tinggi penghargaan terhadap MLBF atas kerjasama diberikan dalam menjayakan kejohanan selama sehari itu.

Menurutnya, penyertaan pada kejohanan itu kurang menggalakkan disebabkan pasukan lain mempunyai komitmen yang tidak dapat dielakkan.

“Pasukan yang bertanding telah menunjukkan kekuatan seimbang dan boleh meningkat dengan lebih baik,” katanya semasa berucap mewakili Awang Mahyan kelmarin.

“Saya harap atlet Sarawak mendapat pengalaman berharga daripada kejohanan ini sebagai persiapan menghadapi SUKMA kelak,” tambahnya.

Sementara itu, Abdul Haris turut menyeru atlet Sarawak terus meningkatkan mutu permainan agar dapat muncul johan pada temasya sebenar nanti.

Beliau turut memuji kualiti dimiliki atlet pelapis Sarawak yang berjaya memberi tentangan sengit sepanjang kejohanan itu berlangsung.

“Saya berharap ramai atlet boling padang Sarawak akan dapat menyertai skuad kebangsaan kelak,” jelas Abdul Haris