Mesyuarat SHOSA lulus percepat penamaan Jalan Brother Albinus

0

SIBU: Mempercepatkan penyerahan cadangan penamaan semula jalan sebagai menghargai sumbangan Brother Albinus antara resolusi dilulus dalam mesyuarat pertama jawatankuasa Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Sacred Heart (SHOSA) 2016-2017.

Presiden SHOSA Hii Chang Kee juga Residen Bahagian Sibu telah mempengerusi mesyuarat diadakan di bilik mesyuarat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart di sini, Sabtu lalu.

Cadangan itu akan diserah kepada pihak berkuasa berkaitan untuk menamakan semula sepanjang jalan di hadapan sekolah kepada Jalan Brother Albinus.

Inisiatif bertujuan memberi pengiktirafan kepada mendiang Brother Albinus Michael O’Flaherty atas sumbangan besar beliau kepada Sekolah Menengah Sacred Heart ketika memegang jawatan pengetua pada dari 1972 hingga 1987.

Brother Albinus telah meninggal dunia pada usia 83 tahun pada 2013.

Sementara itu, bekas Presiden SHOSA Robert Lau Hui Yew memberitahu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah memberi kelulusan cadangan untuk penamaan semula jalan pada bulan lepas untuk menghargai pengorbanan dan sumbangan mendiang Brother Albinus kepada pendidikan.

Menurut Lau, beliau secara peribadi telah berbincang dengan Adenan dan Ketua Menteri tidak mempunyai bantahan terhadap cadangan itu.

Dalam perkara lain, mesyuarat juga telah menetapkan Majlis Makan Malam Perjumpaan Semula 2017 pada 1 April 2017 di Hotel Kingwood.

Antara lain beberapa jawatankuasa kecil juga telah ditubuh bagi menyelaraskan aktiviti SHOSA supaya program akan dapat dilaksana dengan lebih cekap untuk memberi manfaat kepada pihak sekolah, pelajar dan ahli SHOSA.

Senarai jawatankuasa pengurusan diketuai Hii sebagai presiden, Robert Lau dan David Teo Wu dilantik sebagai penasihat.

Naib presiden ialah Wong Su Wang, Ling Kui Choon dan Goh Thiam Ho. Eddy Phua Teik Chai dipilih sebagai setiausaha dan dibantu oleh penolong setiausaha Joseph Lau See Liu. Yong King Sung dilantik sebagai bendahari.

Philip Hii dan Peter Boon dipilih dalam jawatakuasa kecil Publisiti, Lawrence Teo Chin Hock (Keahlian), Lau Tiew Kiong (Kebajikan), Ling Ngie Ming (Pendidikan), Paul Wong Siu Nang (Kewangan), Lawrence Ngu Liong Beng, Andrew Tiong Kieng Hing, Ling Tiing Tchin dan Ariffin Kahar (Acara) serta Wong Chee Tung (Hal Ehwal Am).

Ahli-ahli jawatankuasa lain yang turut dipilih ialah Dato Sri Joseph Ting King Sung, Raymond Wong, Michael Wee, Steven Ting Jack Sing, Chew Chong Hui dan Plan Fuo Sz.