Lebih 10,000 peserta bakal gegar Marathon Kuching 2016

0

KUCHING: Hanya tinggal 79 hari sebelum edisi ketiga, Marathon Kuching 2016 bermula yang akan menjadi larian terbesar bukan sahaja di bandar raya ini malah di Sarawak.

Pengarah Marathon Kuching 2016, Liew Tang Chieh berkata lebih 10,000 peserta dijangka mengambil bahagian pada larian yang diadakan di Padang Merdeka Kuching pada 14 Ogos akan datang.

Edisi pertama diadakan pada 2014 dan berjaya menarik seramai 4,500 penyertaan dan jumlah itu meningkat kepada 65 peratus atau 7,500 pada edisi kedua tahun lalu.

Jumlah itu jauh berbeza jika dibandingkan dengan hanya 700 peserta mengambil bahagian pada larian Sarawak Marathon Bintulu 2015.

Liew berkata, Marathon Kuching 2016 juga terbukti berjaya merancakkan industri pelancongan sukan tempatan di negeri ini.

Daripada 7,500 peserta pada 2015, sebanyak 30 peratus atau 2,264 merupakan peserta dari negara luar seperti Australia, Brunei, China, Hong Kong, Taiwan, India, Indonesia, Jepun, Singapura, Filipina, Kenya, Britain dan Amerika Syarikat.

Bukan itu sahaja, maklum balas daripada pemain industri tempatan menunjukkan kebanyakan hotel dan rumah tumpangan di kawasan bandar raya dipenuhi pelancong semasa dua larian marathon lalu.

Penganjur , Per satuan Marathon Kuching berkata larian itu akan menjadi acara pelancongan tahunan terbesar (bukan musikal) di Sarawak dengan Honda menjadi penaja utama.

Mereka yang hendak mendaftar boleh melayari www.marathonkuching. com.