Bahang Gawai terasa

0
TUMPUAN: Jualan di gerai sempena Hari Gawai turut menjadi tumpuan kepada masyarakat Dayak yang meraikan sambutan.

TUMPUAN: Jualan di gerai sempena Hari Gawai turut menjadi tumpuan kepada masyarakat Dayak yang meraikan sambutan.

Selain terminal bot ekspres, terminal bas, pusat beli-belah juga dipenuhi orang ramai.

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Setiap kali menjelang sambutan Hari Gawai bukan sahaja terminal bot ekspres dan terminal bas tetapi pusat beli belah juga sudah mulai dipenuhi orang ramai seminggu sebelum perayaan disambut.

Di Kuching, kebanyakan pasar raya sudah mulai dimeriahkan dengan lagu-lagu Hari Gawai selain poster ucapan Selamat Hari Gawai, yang menunjukkan kemeriahan sudah bermula.

Seminggu sebelum perayaan merupakan masa paling sesuai kepada mereka yang menyambut perayaan untuk membeli-belah sama ada untuk diri atau ahli keluarga.

Namun tidak kurang juga ada yang membuat persiapan pada saat akhir memandangkan cuti agak lambat dan tidak ada masa untuk membeli-belah.

Malahan ada yang memilih untuk menunggu sehingga pulang ke kampung untuk membeli barang kerana berasakan ia lebih mudah terutama mereka yang pulang menggunakan bas.

Mena Balung, 40, ketika ditemui Utusan Borneo semalam, menjelaskan bahawa dia memilih untuk menunggu sehingga sampai di kampung halamannya untuk membeli barang yang digunakan.

Katanya, memandangkan dia pulang menggunakan bas ke kampungnya agak sukar untuk membawa banyak barang.

“Persiapan itu sama seperti tahun lepas, berbelanja sederhana memandangkan harga barang naik. Apa pun buat masa ini saya hanya membeli barang sikit sahaja kerana menunggu balik kampung.

“Tambahan, saya pulang menggunakan bas yang agak susah untuk saya bawa barang banyak… kalau kenderaan sendiri mungkin lebih senang,” katanya yang berasal dari Sri Aman.

Mena bersama dua anaknya pulang ke kampung semalam, selepas anak-anaknya cuti sekolah.

Sementara itu, Rodney Frazer, 20, berkata,persiapan sambutan Hari Gawai pada tahun ini juga tidak ada beza dengan tahun-tahun lalu dan mungkin kali ini persiapan agak kelam-kabut.

“Ini kerana masih ada saudara-mara yang lambat bercuti… namun persiapan tidak ada masalah dan berjalan dengan baik.

“Cuma kita membeli-belah untuk Gawai ini agak lambat untuk persiapan sepenuhnya tetapi bagi saya sendiri seperti pakaian memang sudah ada,” katanya.

Rodney dari Kampung Pichin, Serian bagaimanapun pulang ke kampungnya pada 31 Mei untuk meraikan sambutan bersama ahli keluarga yang lain.

Hari Gawai diadakan setiap tahun bagi menandakan berakhirnya musim menuai padi dan merupakan satu perayaan yang ditunggu-tunggu oleh semua penduduk di Sarawak selain Hari Krismas.

Gawai Dayak disambut oleh kalangan masyarakat Iban, Bidayuh dan Orang Ulu di Sarawak  diadakan pada 1 dan 2 Jun setiap tahun.