Indonesia mahu jenazah warganya diurus dengan sempurna sebelum dihantar pulang

0

KUCHING:Penjualan organ dan penyeludupan dadah menggunakan mayat pekerja warga Indonesia  yang meninggal di sini untuk ke Indonesia tidak membimbangkan namun tindakan serius perlu dijalankan segera.

Demikian ujar Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Jahar Gultom menyatakan pendirian tegas beliau yang mahu pengurusan jenazah dilakukan dengan sempurna sebelum dihantar ke Indonesia.

“Tujuan seminar yang kami jalankan hari ini bersama pihak berkepentingan dalam perusahaan, perkilangan, pengamal perubatan dan banyak lagi bagi mencapai output yang bernas.

“Terdapat beberapa laporan daripada warga kita termasuk petugas yang bertugas di perbatasan yang menghantar jenazah melalui cara haram dengan alasan mengurangkan perbelanjaan kos.

“Jenazah diletakkan di tengah-tengah penumpang yang lain dan diberi cermin mata hitam dan topi dan apabila sampai ke seberang baharu jenazah diurus sebaiknya.

“Kes yang pernah tercatat oleh KJRI Kuching adalah penyeludupan mayat menggunakan ejen gelap yang melintasi perbatasan menggunakan kenderaan.

Modes operandi ejen tersebut adalah dengan menyandarkan jenazah seakan orang yang sedang tidur dan jenazah diapit oleh pembonceng di belakang dan penunggang motosikal,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Mengenai Pengurusan WNI/TKI Sakit atau Meninggal Dunia dan Penghantaran Jenazah dari Sarawak ke Indonesia.

Oleh sebab itu, kita perjelaskan sebenarnya pengurusan jenazah KJRI mempunyai peraturan dan perlu melalui prosedur yang sepatutnya yang boleh kita dapatkan outputnya melalui seminar ini nanti, tambahnya.

KJRI juga risau sekiranya jenazah yang dibawa secara tidak sah tersebut mempunyai wabak penyakit yang berbahaya.

Maka dengan itu, KJRI sebenarnya telah melakukan pelbagai cara pencegahan dengan memberi maklumat kesedaran melalui penghantaran surat tetapi ia seakan kurang efektif daripada pihak ejen, petugas daripada dua negara tersebut.

Beliau turut memberi penjelasan bahawa pembedahan organ di sini, kesnya amat rendah kerana KJRI Kuching akan menghantar petugasnya untuk menyertai kes autopsi mengikut kehendak pihak di Malaysia.

“Kami juga pastikan organ-organ tidak diambil dan kami dengar daripada pihak doktor bahawa jenazah yang diperlakukan sedemikian amat kecil dan masih lagi dalam keadaan terkawal.

“Setakat ini terdapat lebih kurang 10 ejen yang mengendalikan pengurusan jenazah di seluruh Sarawak dengan rekod yang baik,” katanya.

Akan tetapi katanya, tidak dapat menyangkal sekiranya terdapat mereka yang tidak mematuhi peraturan tersebut dan selalu mengambil kesempatan daripada kesusahan keluarga si mati.

Sarawak jelasnya, merupakan bahagian terbesar antara 13 negeri lain di Malaysia dengan keluasan 124.449,5 km persegi dengan jumlah penduduk seramai 2.4 juta.

Dengan semakin meningkatnya perkembangan di Sarawak maka lebih banyak pekerja diperlukan dalam pelbagai sektor di sini, kata Jahar.

Pekerja warga Indonesia yang bekerja secara sah dan tidak sah di Sarawak berjumlah 400,000 orang dan sememangnya akan mengalami risiko mengalami kemalangan di tempat kerja atau meninggal kerana sakit.

Pada 2012 terdapat 185 kes kematian, 2013 (220 kes kematian), 2014 (197 kes kematian), 2015 (232 kes kematian) dan sehingga April tahun ini tercatat 77 kes mereka yang meninggal di seluruh Sarawak.

Hal ini sangat meresahkan, kerana prosedur pengiriman jenazah tidak dipatuhi secara betul dan sempurna dan KJRI Kuching tidak mahu perkara ini terjadi secara berlanjutan.

Tidak adil tegasnya, kepada jenazah yang diperlakukan sedemikian tetapi perlu diurus sebaik-baiknya untuk memberi penghormatan kepada orang yang telah meninggal itu dan keluarga mereka agar jenazah dapat dikebumikan secara baik.