Saturday, October 23

Lebih banyak gelanggang futsal akan dibina di Batu Danau: Paulus

0

LIMBANG: Tumpuan diberikan membina lebih banyak kemudahan gelanggang futsal di kawasan Batu Danau dalam usaha meningkatkan pembangunan sukan di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang berkata hampir setiap kampung di kawasannya mempunyai kemudahan itu bagi memberi peluang kepada golongan belia melibatkan diri dalam sukan futsal.

Jelasnya, meskipun belum mempunyai kemudahan padang bola sepak mencukupi tetapi dengan adanya gelanggang futsal memudahkan golongan muda menyertai aktiviti sukan futsal.

“Kita bercadang membina lebih banyak gelanggang futsal di DUN Batu Danau kerana ramai belia berminat sukan futsal,” katanya ditemui pada perlawanan akhir Piala FA Limbang 2015-2016 di Padang Majlis Daerah Limbang (MDL) di sini kelmarin.

Turut sama Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Limbang (LFA) Alidin @ Ibrahim Tawar, Naib Presiden LFA Bulhaji Wahab, Setiausaha Kehormat LFA, Abdul Ajis Kon Mohd Ghazali Ismail dan jawatankuasa tertinggi LFA.

Paulus menjelaskan, antara kampung mempunyai gelanggang futsal termasuk Kampung Medait, Lubuk Simpor, Medamit dan kampung lain yang boleh digunakan oleh kampung-kampung sekitarnya.

Mengulas mengenai perlawanan akhir bola sepak Piala FA Limbang bagi merebut Piala Paulus Palu Gumbang memasuki edisi ketiga, beliau optimis kejohanan itu mampu melahirkan pemain-pemain berbakat.

“Limbang mempunyai ramai pemain, Piala FA memberi ruang kepada mereka berminat dan ada bakat mengasah potensi selain melahirkan ramai pemain boleh menyumbang kepada pembangunan sukan bola sepak di negeri ini,” katanya.

Pada kejohanan itu, Tiger FC muncul juara dengan jaringan 4-2 mengenepikan ABC Club.

Selaku juara, Figer FC membawa pulang RM2,000, Piala Paulus Palu Gumbang, piala iringan dan pingat.

Manakala ABC Club menerima RM1,000, piala iringan dan pingat dan Sundarland dan MBS terpaksa berkongsi kedudukan di tangga ketiga dan menerima RM500, piala iringan dan pingat.