Pengusaha bot, penumpang balik Gawai diingat utamakan keselamatan

0

// Oleh Borhaniza Ali Basah //

BERLEPAS: Penumpang memasuki bot ekspres sebaik pegawai  operasi mengumumkan bot ekspres bersedia untuk berlepas.

BERLEPAS: Penumpang memasuki bot ekspres sebaik pegawai operasi mengumumkan bot ekspres bersedia untuk berlepas.

SUASANA balik kampung sempena Hari Gawai Dayak telah kembali lagi tahun ini, di mana pada hari Sabtu (28 Mei) ini

sahaja seramai 6,522 penumpang telah menggunakan Terminal Bot Ekspres Sibu, yang menyebabkan faktor keselamatan perlu diberi keutamaan.

Angka itu terus meningkat dengan mendadak, di mana pada hari sebelumnya (27 Mei) jumlah penumpang adalah seramai 4,392 orang dan dijangka akan terus meningkat hari ini (kelmarin) kerana rata-rata masyarakat Dayak mula berpusu-pusu untuk pulang ke kampung halaman untuk bertemu keluarga tersayang.

Berdasarkan rekod daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Terminal Bot Ekspres Sibu pernah mengendalikan kira-kira 8,000 penumpang semasa waktu kemuncak perayaan Hari Gawai tahun lepas.

Menyedari hakikat itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan (Niosh) Tan Sri Lee Lam Thye menegaskan agar pengusaha bot-bot

ekspres tidak berkompromi mengenai keselamatan penumpang.

“Ini bermaksud, mereka perlu mengutamakan keselamatan dan sentiasa perlu diingati. Oleh itu, mereka perlu memastikan segala prosedur keselamatan adalah berada di landasan yang sepatutnya.

“Sebagai contoh, mereka perlu memastikan jaket keselamatan disediakan, dan penumpang perlu mematuhi segala arahan keselamatan,” kata Lee ketika dihubungi kelmarin.

Katanya, masalah kesesakan akan sentiasa timbul kerana para penumpang tidak mahu ketinggalan bot mereka.

“Pengusaha bot ekspres harus memastikan keadaan adalah selamat dan mereka tidak dibenarkan membawa penumpang sekiranya bot telah penuh,” tegasnya.

Untuk itu, Lee menasihati agar penumpang merancang perjalanan mereka sebelum memulakan perjalanan balik kampung.

Sementara itu, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan (Pengangkutan Sungai dan Keselamatan) Liwan Lagang menggesa supaya usaha bersepadu dijalankan daripada pihak berkuasa, pengusaha bot dan penumpang bagi memastikan sambutan Hari Gawai berjalan dengan lancar.

“Pihak berkuasa tempatan perlu sentiasa tegas agar keselamatan penumpang bot adalah terjamin.

“Justeru, kita meminta para penumpang juga turut memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Di samping itu, pengusaha bot perlu mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan keselamatan, seperti memastikan bot mereka tidak membawa muatan yang berlebihan, tambah Liwan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga.

Oleh itu, pengusaha bot perlu memohon bot tambahan (perjalanan) jika mereka menjangkakan lebih ramai penumpang akan balik kampung menggunakan perkhidmatan bot ekspres.

Sementara itu, semasa tinjauan Utusan Borneo di Terminal Bot Ekspres Sibu kelmarin, mendapati warga kota terutama masyarakat Dayak mula membanjiri sekitar kawasan terminal.

Kelihatan para penumpang membawa banyak bungkusan kotak dan sebagainya untuk dibawa pulang ke kampung halaman.

TIKET: Membeli tiket sementara masih ada.

TIKET: Membeli tiket sementara masih ada.