Polis tahan lelaki terlibat dalam pengedaran ketum

0
HASIL RAMPASAN: A. Asmadi (kiri) menunjukkan daun dan air ketum yang dirampas daripada seorang lelaki dalam satu sekatan jalan raya, pada sidang media, di Alor Gajah, semalam. — Gambar Bernama

HASIL RAMPASAN: A. Asmadi (kiri) menunjukkan daun dan air ketum yang dirampas daripada seorang lelaki dalam satu sekatan jalan raya, pada sidang media, di Alor Gajah, semalam. — Gambar Bernama

ALOR GAJAH: Polis Melaka menahan seorang penarik kabel kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran daun dan air ketum di negeri ini sejak 2011.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt A. Asmadi Abdul Aziz berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan raya di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin pukul 12.15 tengah malam kelmarin.

“Pemeriksaan menemui tiga bungkus plastik hitam disyaki daun ketum dianggarkan seberat 20 kilogram dengan nilai RM600 dan sebotol cecair berisi kira-kira satu liter air ketum di bahagian belakang kenderaan yang dipandu lelaki itu.

“Ketika ditahan lelaki itu dipercayai baru tiba di Melaka selepas mendapatkan bekalan daun ketum dari Perak untuk dijual di sekitar negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata lelaki berkenaan disyaki memproses daun tersebut untuk menghasilkan air ketum yang dijual dengan harga RM10 sebotol manakala daun itu dijual pada harga RM30 sekilogram.

A. Asmadi berkata suspek yang berasal dari Teluk Intan, Perak dipercayai memproses daun ketum berkenaan di rumahnya di Bukit Rambai di sini.

Katanya lelaki itu mampu meraih keuntungan RM2,000 sebulan hasil jualan daun serta air ketum dan mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan pengedaran daun dan air ketum.

Beliau berkata suspek ditahan reman selama tiga hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. — Bernama