Tuesday, December 6

Rubiah, Idris hulur sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Baru

0

KOTA SAMARAHAN: Musibah menimpa seorang warga emas dari Kampung Baru di sini setelah rumahnya musnah dalam kebakaran, mendapat perhatian daripada dua wakil rakyat di kawasan tersebut.

Mangsa, Johari Mut, 65, menerima sumbangan daripada Ahli Parliman Kota Samarahan Rubiah Wang dan wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Idris Buang, Busman Ramli yang tampil melawat mangsa sekeluarga di tapak insiden itu semalam.

Selain sumbangan daripada dua wakil rakyat di kawasan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Tabung Baitulmal Sarawak turut tampil menghulurkan bantuan berupa barang keperluan harian, tilam, bantal, selimut dan sebagainya.

Rubiah ketika ditemui berkata, pihaknya sedia membantu mangsa untuk membaik pulih rumah yang telah ranap disebabkan kebakaran itu.

“Kita memberi cadangan kepada mangsa sama ada mahu membina baharu atau membaik pulih semula rumah mereka.

“Untuk membaik pulih rumah mangsa yang dibuat secara gotong-royong, saya sedia menghulurkan geran di bawah program mesra rakyat untuk mangsa yang mana kita anggarkan kos untuk baik pulih rumah ini sekitar RM30,000 hingga RM40,000,” katanya.

Sementara itu, Johari bersyukur dengan bantuan yang telah dihulurkan oleh pelbagai pihak kepada diri dan keluarganya.

“Saya amat berterima kasih kepada mereka yang telah tampil menghulurkan bantuan untuk meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Pada Ahad lalu, Johari yang tinggal bersama isterinya, Raiah Seron, 59, anak serta menantu dan empat cucunya hilang tempat berteduh selepas rumah mereka musnah dalam satu kebakaran yang berlaku sekitar jam 5 petang.

Hadir sama pada penyampaian sumbangan itu semalam, Pegawai JKM Samarahan Fadzell Suut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Idris Buang turut melawat mangsa kebakaran kira-kira jam 3 petang semalam.