SSPCA akan anjur Bengkel Latihan Pengurusan Populasi Haiwan

0
KERJASAMA: Rebecca (kanan) berjabat tangan dengan Pengurus Pembangunan Hotel Grand Margherita dan Riverside Majestic Pauline Chong.

KERJASAMA: Rebecca (kanan) berjabat tangan dengan Pengurus Pembangunan Hotel Grand Margherita dan Riverside Majestic Pauline Chong.

KUCHING: Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan Sarawak (SSPCA) akan menganjurkan Bengkel Latihan Pengurusan Populasi Haiwan pada Ogos akan datang.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam, bengkel selama tiga hari itu akan diadakan bermula 2 hingga 4 Ogos di Hotel Grand Margherita, di sini.

Pengerusi pengelola bengkel itu, Rebecca D’Cruz berkata, bengkel itu diadakan sebagai kesinambungan penganjuran Persidangan Borneo Asia Untuk Haiwan (AFA Borneo) 2015 yang diadakan di Kuching pada Oktober tahun lalu.

“Bengkel latihan ini memberi fokus perbincangan dua tema utama pada persidangan tahun lalu iaitu ‘Pencegahan dan Kawalan Penyakit Anjing Gila’ dan ‘Pengurusan Populasi Haiwan Berperikemanusiaan’.

“Selain itu, turut diadakan ialah Bengkel Latihan Penangkapan Anjing Berperikemanusiaan yang akan dikendalikan oleh pelatih pakar daripada Mission Rabies India.

“Ini diadakan khusus untuk golongan sasar yang bertanggungjawab menangkap dan mengawal anjing liar dan terbiar,” katanya menerusi kenyataan akhbar tersebut.

Jelasnya lagi, banyak kritikan dan aduan daripada orang awam menerusi siaran akhbar tempatan berhubung cara dan kaedah yang digunakan penangkap anjing daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tambah beliau, sesi latihan itu menyasarkan untuk menyediakan kakitangan PBT dengan kemahiran tertentu bagaimana menangkap anjing liar dengan penuh rasa kemanusiaan.

“Sasaran peserta bagi bengkel ini ialah kakitangan kerajaan tempatan dan pengamal kebajikan haiwan seluruh Sarawak dan Malaysia, termasuk dari negara jiran Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina, dan khusus kepada peserta yang menghadiri AFA Borneo 2015.

“Memandangkan ini merupakan latihan utama, kita meletakkan sasaran peserta seramai 150 orang dan memastikan semua peserta akan terlibat secara aktif dan memanfaatkan bengkel ini dengan sepenuhnya,” katanya.

Bengkel itu akan diketuai pelatih pakar termasuk Dr Katherine Polak dari Amerika Syarikat, Dr Gan-ga de Silva (Sri Lanka), Praveen Ohal (India) dan Harry Eckman (England).

Pendaftaran bagi bengkel itu ialah RM800 setiap seorang untuk Malaysia dan peserta asing pula ialah USD250 setiap seorang.

Jamuan makan turut disediakan sepanjang bengkel itu ber-langsung.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang di http://www.placeborneo.com/index.php/events-home2/sspca-apm-16 atau hubungi Traci Tay di [email protected] atau hubungi talian 082-250400.