Ibu tabah ditohmah: Wan Emir Astar

0

KUALA KANGSAR: Anak sulung kepada calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid, berkata ibunya tetap tabah dalam mendepani pelbagai tohmahan dilemparkan di media sosial.

Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 26, yang menggalas tanggungjawab besar untuk berkempen bagi pihak ibunya yang masih dalam edah itu berkata mereka sekeluarga tetap utuh bersatu dalam menghadapi apa jua ujian.

“Kami hanya perlu menjadi diri sendiri dan tidak perlu berlakon untuk menjadi orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon PRK Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak di sini, semalam.

Beliau yang mengikuti pengajian dalam bidang March Architecture & Design di Universiti Kingston, London sedang bercuti sehingga Ogos ini.

Wan Emir Astar berkata seluruh anggota keluarganya masih amat merindui Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang genap sebulan pemergiannya selepas terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas.

Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar ialah penyandang kerusi itu sebelum ini.

“Apa sahaja ujian (yang dihadapi), kami hanya perlu ikhlas menjadi diri sendiri dan tidak perlu berlakon kerana seperti arwah papa (Wan Mohammad Khair-il Anuar) yang sentiasa ikhlas dalam setiap perbuatannya.

“Memang kadang-kala terasa seperti arwah akan kembali sebab kami sudah terbiasa ditinggalkan dahulu oleh arwah untuk menjalankan tugasnya,” kata Wan Emir Astar.

PRK Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan calon Bebas.

PAS diwakili Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad,  Amanah oleh Naib Ketua AMANAH kawasan Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli  dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Nama empat calon itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Parlimen Kuala Kangsar Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria selepas proses penamaan calon PRK itu selesai semalam.

Mengikut daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sehingga 7 Mei lepas terdapat sebanyak 32,949 orang layak mengundi pada PRK itu 18 Jun ini.

Dalam pada itu, Wan Emir Astar berkata beliau memakai kasut arwah bapanya  dan berbaju Melayu biru ke pusat penamaan calon bagi membawa semangat Allahyarham bapanya itu.

“Bezanya hari ini, ibu yang menjadi calon. Ia mengimbas ketika penamaan calon papa ketika PRU (pilihan raya umum) ke-13 dahulu.

“Seperti ibu katakan pada saya, ibu hanya membawa jasadnya tetapi dia membawa ‘roh’ arwah papa, begitu juga kami membawa semangat papa hari ini,” katanya

Beliau berkata tarikh 5 haribulan amat signifikan bagi keluarga kerana bapanya meninggal dunia dan ibunya dinamakan sebagai calon pada tarikh itu.

“Tarikh 5 Jun menjadi signifikan kepada kami, saya hingga lupa harijadi saya ke-26 pada 3 Jun lepas kerana terlalu memikirkan tarikh hari ini (5 haribulan) perasaan sedih… tetapi juga gembira kerana ibu diberi peluang untuk menyambung perjuangan ayah di Kuala Kangsar ini,” katanya.

Wan Emir Astar yang hadir bersama-sama tiga adiknya iaitu Wan Imar Izzat, Wan Iskandar dan Wan Muhammad Ammar berkata, beliau dan adiknya telah bersedia “berkongsi’ ibu mereka dengan masyarakat sekiranya memenangi kerusi itu pada PRK 18 Jun ini. — Bernama