Pembangunan secara berperingkat

0

Limbang dibangun ikut acuan, keperluan dan kehendak penduduknya

Oleh Mastura Ismail //

LIMBANG: Limbang bakal dimaju dan dibangunkan secara berperingkat mengikut acuan, keperluan, kemampuan dan kehendak lebih 40,000 penduduk di daerah ini.

Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Limbang masih memerlukan pembangunan infrastruktur, pendidikan dan prasarana lain setanding dengan kawasan lain.

Jelasnya dari segi pendidikan, daerah ini belum mempunyai kemudahan pendidikan mencukupi seperti institusi pendidikan vokasional, kolej dan sebagainya.

“Dari segi projek lain, kerajaan juga telah meluluskan pembinaan Projek Jambatan Kedua Sungai Limbang yang bakal menjadi mercu tanda bandar ini, kompleks dan bangunan kerajaan dan projek pembangunan lain,” katanya pada Majlis Penghargaan dan Terima Kasih Kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi Kerusi Bukit Kota di Dewan Suarah, malam kelmarin.

Turut hadir ialah isteri Dr Abdul Rahman Dayang Maimunah Awang Mohd Daud, Timbalan PBB Bukit Kota Yusup Dullah, Ketua Pemuda PBB Bukit Kota Kaunselor Sufian Mohat, Ketua Wanita PBB Bukit Kota Kaunselor Norni Marlini Abdullah, Temenggung Ang Kheng Su dan jemputan lain.

Mengulas mengenai kemenangan tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) lepas, Dr Rahman berkata, ia merupakan kemenangan semua penyokong BN.

“Kemenangan ini berdasarkan sokongan tidak berbelah bagi rakyat terhadap kerajaan BN.

“Rakyat sudah tahu menilai dan memilih kerajaan yang baik yang bukan hanya tahu beretorik saja tetapi kerajaan yang mengotakan janji,” ujar beliau.

ADUN Bukit Kota itu menambah kemenangan berkenaan menunjukkan kekuatan sokongan yang bukan hanya ditunjukkan semasa hari mengundi, malahan sebelum pilihan raya lagi.

“Kita telah bekerja sepanjang lebih 10 tahun untuk membawa pembangunan kepada rakyat,” tambahnya.

Sementara itu, Dr Abdul Rahman berkata perlantikan Menteri Muda dari Limbang menunjukkan betapa Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mendengar suara dan kehendak penduduk di daerah ini sejak menanti lebih 15 tahun lalu.

Beliau turut berterima kasih kepada isteri dan anak-anak yang banyak berkorban masa dan tenaga selain menyokong kariernya sebagai wakil rakyat sebelum ini.

“Terima kasih kepada isteri dan anak-anak yang sama-sama berkorban masa dan tenaga demi untuk saya sebagai wakil rakyat,” katanya lagi yang tidak menyangka akan dilantik sebagai Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat pada Istiadat Angkat Sumpah Pelantikan Menteri-Menteri Muda Negeri Sarawak di Dewan Lapau, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching, baru-baru ini.