Pengajaran buat Malaysia

0
TERSUNGKUR: Pemain Malaysia, Mohd Faris Shah Rosli (kiri) berlanggar dengan pemain Thailand, Nattawut Sombatyotha pada perlawanan akhir Piala Negara-Negara bawah 21 tahun di Stadium Hang Jebat, Melaka Ahad lalu. — Gambar Bernama

TERSUNGKUR: Pemain Malaysia, Mohd Faris Shah Rosli (kiri) berlanggar dengan pemain Thailand, Nattawut Sombatyotha pada perlawanan akhir Piala Negara-Negara bawah 21 tahun di Stadium Hang Jebat, Melaka Ahad lalu. — Gambar Bernama

MELAKA: Tewas tipis 1-2 kepada Thailand pada perlawanan akhir Piala Negara-negara 2016 malam tadi, merupakan pengajaran berharga buat pemain muda Malaysia untuk pantas bangkit meningkatkan prestasi menjelang Sukan SEA tahun depan.

Kekalahan kepada juara Sukan SEA 2015 itu, adalah yang pertama tahun ini buat skuad Projek Sukan SEA 2017 setelah dibuai pujian membenam skuad Bawah 22 Tahun Filipina 4-1 dan seri 1-1 berdepan skuad kebangsaan Nepal pada aksi persahabatan, selain menundukkan pasukan Bawah 21 Tahun Singapura 3-0 pada perlawanan pertama Piala Negara-negara itu.

Di sebalik kemenangan ke atas Singapura pada kejohanan itu, Malaysia tampak gugup pada awal permainan dengan hantaran kurang kemas dan kerap kehilangan bola manakala pada perlawanan akhir menentang Thailand memperlihatkan Malaysia sering hilang punca dan gagal meneruskan rentak menyerang pada babak kedua.

Kesemua itu adalah input berguna buat ketua jurulatih Frank Bernhardt untuk memperbaiki mutu permainan anak buahnya, selain mencari gandingan kesebelasan utama dan senarai pemain terbaik untuk menghadapi cabaran di Sukan SEA 2017.

Bernhardt ketika permulaan kejohanan Piala Negara-negara sememangnya melihat kejohanan itu sebagai medan persediaan untuk melihat keupayaan awal anak buahnya dan mengukur keupayaan lawan pada Sukan SEA 2017 iaitu Thailand, Singapura dan Vietnam.

Kejohanan itu juga medan bagi Bernhardt menguji pemain muda seperti penjaga gol Terengganu, Amierul Hakimi Awang, dan daripada empat pemain yang dilihat sebagai tonggak utama dalam skuadnya, hanya kapten Mohd Faris Shah Mohd Rosli bermain sepenuh masa dalam dua perlawanan.

Pemain sayap lincah Kedah, Muhammad Farhan Roslan dan penyerang Selangor Adam Nor Azlin bermain separuh masa dalam perlawanan pertama menentang Singapura, manakala pertahanan Johor Darul Ta’zim II Dominic Tan tidak diturunkan dalam kedua-dua perlawanan.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi, Mohd Faris Shah berkata banyak yang perlu diperbaiki dan dipelajari skuad negara untuk memastikan pasukan itu dapat beraksi dengan cemerlang pada Sukan SEA nanti.

“Kita sudah memberikan yang terbaik untuk bersaing dengan Thailand tetapi pasukan itu bermain lebih cemerlang, mungkin rezeki tidak berpihak kepada kita.

“Apapun daripada perlawanan itu, kita kena belajar terutama daripada kesilapan dan kelemahan supaya kita tidak mengulangi perkara sama pada Sukan SEA nanti,” kata pemain pertahanan tengah dari Kelantan itu.

Mohd Faris Shah berkata pasukan negara juga perlu belajar daripada kegagalan memanfaatkan deretan peluang untuk menjaringkan gol serta membentuk mentaliti tenang dan kreatif dalam menghadapi pelbagai situasi dalam sesuatu perlawanan.

Pemain sayap kanan Nur Syamie Iszuan Amin yang menjaringkan gol tunggal negara pada perlawanan itu, berkata kekalahan tersebut tidak mematahkan semangatnya dan rakan-rakan, sebaliknya ia menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk beraksi lebih cemerlang pada Sukan SEA 2017.

“Kita akan berlatih lebih gigih di bawah jurulatih Bernhardt untuk meningkatkan mutu permainan supaya kami boleh membalas dendam terhadap Thailand pada Sukan SEA nanti,” kata pemain dari Sarawak itu.— Bernama