Kelebihan sebagai tuan rumah SUKMA XVIII tidak harus disiakan

0

KUCHING: Kelebihan sebagai tuan rumah tidak harus disia-siakan oleh Sarawak untuk menjadi juara bagi Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-18 pada Julai nanti.

Justeru itu, Menteri Muda (Belia dan Sukan) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berharap agar atlet-atlet mewakili negeri memberikan yang terbaik untuk memperolehi pingat pada temasya sukan berprestij negara itu.

“Ini adalah peluang terbaik untuk kita menjadi juara. Kali terakhir kita juara SUKMA ialah pada 1994 dan kita tidak boleh mensiasiakan kelebihan sebagai tuan rumah pada kali ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Abdul Karim berkata, Sarawak turut meletakkan harapan tinggi untuk memperolehi pingat emas bagi keseluruhan acara yang ditandingi.

Jelas beliau, antara acara berpotensi untuk Sarawak memperolehi emas ialah renang dan wushu.

“Ada acara yang menawarkan dua hingga empat pingat dan ada juga yang menawarkan sehingga 20 pingat. Justeru, kita memberi tumpuan kepada acara menawarkan lebih banyak pingat untuk menjadi juara,” katanya.

Menurut beliau, pesaing utama Sarawak untuk menjadi juara ialah Selangor, Kuala Lumpur dan Terengganu.