Undang-undang, peraturan serta amalan diskriminasi wanita dipinda

0

KUCHING: Sarawak akan meneliti sebarang undang-undang, peraturan serta amalan yang mendiskriminasi wanita untuk dipinda pada Persidangan DUN akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, kerajaan negeri akan meminda undang-undang berkaitan agar tidak berlaku diskriminasi terhadap wanita di Sarawak.

“Kita mahu mana-mana undang-undang, peraturan atau amalan yang mendiskriminasi wanita diubah.

“Untuk itu saya mahu mereka yang berkaitan mencari amalan atau peraturan atau undang-undang mendiskriminasi wanita dibentangkan pada Persidangan DUN untuk pindaan,” katanya ketika ucapan penggulungan pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Sementara itu pada persidangan berkenaan, Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) mempersoalkan adakah Ordinan Surat Kuasa Mentadbir (Letters of Administration) Harta Pusaka, mendiskriminasi wanita dan jika ya, maka ia perlu dipinda pada Persidangan DUN akan datang.

Menurut Chong Surat Berkuasa berkenaan menunjukkan diskriminasi terhadap wanita iaitu apabila suami meninggal dunia, individu pertama berhak mendapat permohonan anak lelaki wanita berkenaan tetapi sebaliknya pula, apabila isteri meninggal, suami merupakan individu pertama berhak mendapat permohonan.

Adenan berkata kerajaan akan mengambil perhatian terhadap isu berkenaan serta isu lain yang berkaitan diskriminasi wanita.

“Kita sedar semakin ramai graduan wanita kini memasuki pasaran kerja. Ini sudah pasti akan meningkatkaan penyertaan dalam pelbagai bidang,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan menghargai sumbangan wanita dalam pembangunan negeri ini malahan golongan itu memainkan peranan penting kepada ekonomi.

“Dengan itu lebih banyak usaha akan dilakukan untuk memperkasakan mereka menjadi usahawan dan peserta dalam ekonomi baharu.

“Program akan dilakukan dengan menyediakan lebih banyak latihan keusahawanan, pusat jagaan harian dan perniagaan berasaskan ICT bagi membolehkan wanita mempunyai masa bekerja yang fleksibel,” tegasnya.

Dalam hal pembangunan sosial kata Adenan, kerajaan turut memberi tumpuan terhadap pembangunan belia, wanita dan keluarga untuk ekonomi baharu.

Katanya pembangunan belia amat penting kerana mereka berpotensi menjadi aset kepada ekonomi.

“Ini harus dilakukan melalui lebih banyak latihan dalam kemahiran untuk memanfaatkan kreativiti dan inovasi mereka.

“Tumpuan akan terus dalam bidang latihan teknikal dan vokasional kepada belia kita untuk memenuhi keperluan industri di negeri ini,” katanya.