Wednesday, July 24

BGA tumpu pembangunan pendidikan pelajar Bidayuh

0

KUCHING: Persatuan Graduan Bidayuh  (BGA) akan terus memberi tumpuan kepada aspek pembangunan pendidikan terutama dalam kalangan  pelajar Bidayuh.

Presidennya, Profesor Madya Dr Ahi Sarok berkata penekanan kepada aspek pendidikan adalah bagi membantu para pelajar terutama yang bakal menduduki peperiksaan awam menjawab soalan dengan tepat.

“Usaha ini tidak boleh dilakukan oleh BGA secara sendirian tetapi turut menuntut kerjasama daripada organisasi bukan kerajaan (NGO) yang lain.

“Selain pendidikan, persatuan juga akan mengintai lebih banyak kerjasama dari mana-mana persatuan mempunyai aspirasi sama dengan BGA,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya sempena Mesyuarat Agung Tritahunan (TGM) Keempat BGA di Kompleks Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini semalam.

Bercakap mengenai TGM itu semalam, ia telah dirasmikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Dato Sri Michael Manyin Jawong merangkap Penasihat BGA dan DBNA.

Mesyuarat itu semalam juga adalah bagi memilih barisan kepimpinan baharu BGA yang akan meneruskan kepimpinan bagi tempoh 2016 hingga 2019.

Pemilihan barisan kepimpinan baharu itu semalam adalah penting bagi membolehkan lebih banyak perancangan disusun untuk kepentingan masyarakat terutama dalam aspek pendidikan.