Semua peniaga bazar Ramadhan patuhi peraturan

0
TURUN PADANG: Stanley (tengah) mendengar penerangan daripada Joseph bersama Thomas (kiri) serta rombongan pada Program ‘Walkabout’ dan Pemeriksaan Bersepadu KPDNKK Bersama Agensi Kerajaan di Bazar Ramadan Sri Aman.

TURUN PADANG: Stanley (tengah) mendengar penerangan daripada Joseph bersama Thomas (kiri) serta rombongan pada Program ‘Walkabout’ dan Pemeriksaan Bersepadu KPDNKK Bersama Agensi Kerajaan di Bazar Ramadan Sri Aman.

SRI AMAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) belum mencatat sebarang kes melibatkan peniaga di seluruh bazar Ramadan di negeri ini buat masa ini.

Pengarah KPDNKK Negeri Sarawak Datuk Stanley Tan berkata belum ada sebarang kes dilakukan oleh peniaga bazar Ramadan tahun ini dan segalanya mengikut peraturan yang ditetapkan kementerian.

Katanya KPDNKK menerusi cawangan-cawangannya turun padang bagi memantau semua bazar Ramadan yang beroperasi sempena Ramadan tahun ini.

“Tiada kesalahan dicatat berlaku dalam kalangan peniaga melibatkan akta-akta di bawah KPDNKK. Justeru, kami menaruh harapan agar orang ramai melaporkan jika ada peniaga bertindak melanggar peraturan yang ditetapkan,” katanya pada Program ‘Walkabout’ dan Pemeriksaan Bersepadu KPDNKK Bersama Agensi Kerajaan di Bazar Ramadan Sri Aman di sini, kelmarin.

Sementara itu, KPDNKK mencatat sejumlah 51 kes dengan nilai rampasan sejumlah RM25,109.40 bermula dari Januari hingga Jun tahun ini bagi kawasan Sri Aman, Betong, Lubok Antu dan Saratok.

Semua 51 kes berlaku di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, Akta Perlindungan Pengguna, Akta Hak Cipta dan Akta Perihal Perdagangan.

“Jumlah kes ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu berbanding 82 kes bermula dari Januari hingga Disember tahun lalu bagi kawasan sama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pengguna sedar dan peka terhadap isu seperti ini.

“Pada masa sama, isu melibatkan kesalahan hak cipta (cetak rompak) menjadi kerisauan utama pihak kami buat masa sekarang di negeri ini,” katanya.

Turut hadir Timbalan Residen Sri Aman Joseph Liaw dan Ketua Cawangan KPDNKK Sri Aman Thomas Chu.