Besar-besaran

0
TELITI: Che Yussof (kanan) semasa mendengar penerangan daripada anggota yang bertugas dalam SJR.

TELITI: Che Yussof (kanan) semasa mendengar penerangan daripada anggota yang bertugas dalam SJR.

TELITI: Che Yussof (kanan) semasa mendengar penerangan daripada anggota yang bertugas dalam SJR.

TELITI: Che Yussof (kanan) semasa mendengar penerangan daripada anggota yang bertugas dalam SJR.

Polis lancar operasi serentak di empat daerah buru suspek samun, curi kenderaan dan jenayah jalanan.

Oleh Jeremy Lanson //

KUCHING: Polis melancarkan operasi bersepadu besar-besaran untuk mengesan suspek samun berkumpulan berikutan beberapa kes samun, curi kenderaan dan jenayah jalanan yang dilaporkan berlaku sejak awal bulan ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) SAC Che Yussof Che Ngah berkata, operasi tersebut dilancarkan serentak di empat daerah iaitu Kuching, Kota Samarahan, Padawan dan Bau bermula semalam sehingga 5 Julai ini.

Menurutnya, seramai 250 pegawai dan anggota dari unit Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), JSJ Narkotik, JSJ Komersil, Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan AM, Unit Udara dan PULAPOL menyertai operasi tersebut.

“Operasi dijalankan 24 jam, cuma kita fokuskan selepas tengah malam, di mana kita akan buat ‘cut off’ untuk mencegah kes-kes samun, terutama yang melibatkan pendatang asing sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat di sekitar Petra Jaya dan Matang.

“Selain itu, operasi ini juga adalah untuk menjejaki orang dikhendaki yang telah kita kenal pasti melalui kesan cap jari yang berjaya ditemui di lokasi-lokasi kejadian (kes samun),” ujarya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada anggota dan pegawai yang terlibat dengan operasi tersebut di Balai Polis Batu Kawah di sini, semalam.

Che Yussof berkata, selain melakukan sekatan jalan raya (SJR), pihaknya akan turut melakukan pemantauan melalui udara serta rondaan di kawasan tumpuan ramai.

“Untuk hari ini (semalam), sebanyak 12 SJR dilakukan iaitu enam di Kuching, dan dua masing-masing di Padawan, Kota Samarahan serta Bau dan ini akan berterusan selama 12 hari hingga 5 Julai.

“Selain itu, kita juga akan melakukan pemantauan melalui udara menggunakan helikoter dan pemeriksaan di tempat tumpuan orang ramai untuk mengelak kes samun dan ragut,” jelasnya.

Justeru, beliau memohon orang ramai agar tidak panik dan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis.

“Kita ingin masyarakat sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kita menasihatkan masyarakat agar terus menghubungi kita jika melihat sesuatu mencurigakan,” katanya.

Operasi semalam berjaya memeriksa 268 kenderaan dan 397 orang di mana tiga daripadanya ditahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.