Kawan makan kawan, lelaki hilang RM40,000

0

SIBU: Angkara percaya pelaburan Forex, seorang lelaki mendakwa dirinya ditipu rakan yang disyaki melenyapkan wang simpanannya berjumlah RM40,000.

Kejadian ini berlaku apabila pengadu berumur 30-an diperkenal seorang rakan satu pelaburan wang yang kononnya memberi pulangan menguntungkan.

Menurut pengadu, rakannya menyakinkan dia mengeluar wang dalam pelaburan tersebut pada Januari lepas.

Pengadu teruja mendengar penjelasan rakannya kemudian berbincang dengan isterinya yang bersetuju untuk menggunakan namanya dalam pelaburan itu.

Pada Februari lalu, pengadu menyerahkan RM40,000 kepada kepada rakannya tetapi gagal mendapatkan resit.

Sejak daripada hari itu, pengadu sering meminta resit pelaburan tersebut tetapi rakannya sering berdalih.

Mac lalu, pengadu bertanya kepada rakannya namun terkejut apabila dimaklumkan bahawa pelaburannya sudah menemui jalan mati.

Menurut pengadu, suspek berjanji membayar ganti rugi sejak April lalu tetapi sehingga minggu lepas rakannya sudah tidak dapat dihubungi lagi.

Akhirnya pengadu mengambil keputusan untuk membuat laporan polis minggu lepas mengharapkan polis membantunya untuk menjejaki suspek dipercayai menipunya.