K’jaan sentiasa memandang berat keperluan rakyat setempat

0

TENOM: Rakyat dinasihatkan agar memanfaatkan sepenuhnya segala kemudahan yang disediakan kerajaan di samping menjaga kemudahan yang disediakan itu, kata Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Jamawi Jaafar, di sini.

Katanya, kemudahan seperti dewan orang ramai, balai raya, balai budaya dan gelanggang futsal dapat memberi peluang kepada komuniti setempat berkumpul melaksanakan pelbagai aktiviti sementara gelanggang permainan membolehkan golongan belia untuk bergiat lebih aktif dalam pelbagai program kesukanan selain mengelak mereka daripada melakukan perkara tidak berfaedah.

“Kerajaan sentiasa memandang berat keperluan rakyat setempat, sebagai contoh pembinaan gelanggang serba guna Belia Lembaga Tabung Getang Lagud Seberang ini, boleh dijadikan tempat bagi penduduk kampung berkumpul untuk melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, terutamanya aktiviti riadah,“ katanya semasa berucap merasmikan gelanggang itu di Lagud Seberang, di sini kelmarin.

Beliau turut melahirkan harapan agar pemimpin, ketua masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta semua penduduk bersama-sama menjaga kemudahan itu dengan sebaiknya.

“Saya juga berharap agar semua pihak dapat menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk menjaga kemudahan ini dan mencari cara untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan,” katanya

Jamawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Tenom berkata, komuniti setempat terutamanya golongan belia wajar menjaga kemudahan yang disediakan oleh kerajaan agar kerajaan tidak serik untuk menyediakan lebih banyak kemudahan di kampung masing-masing .

Pada masa sama, beliau juga meminta penduduk setempat agar terus memperkukuhkan perpaduan bagi menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) agar lebih banyak lagi program-program pembangunan dapat disalurkan ke kawasan mereka.

Katanya, pembangunan infrastruktur luar bandar akan terus menjadi agenda utama kerajaan khususnya untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat di kawasan luar bandar di negeri ini.

“Inilah konsep kerajaan BN hari ini ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’ yang seharusnya mendapat dokongan padu dari rakyat,” katanya lagi.