Sarawak tidak rela berputih mata

0

Skuad hoki wanita bersedia menghadapi cabaran temasya sukan SUKMA XVIII pada Julai depan

// Oleh Harry Ilias //

SEDIA BERJUANG: Pasukan hoki wanita Sarawak bersama Sivasubramaniam dan jurulatih-jurulatih lain.

SEDIA BERJUANG: Pasukan hoki wanita Sarawak bersama Sivasubramaniam dan jurulatih-jurulatih lain.

KUCHING: Skuad hoki wanita Sarawak tidak rela berputih mata di bumi sendiri dan bersedia melaungkan cabaran menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-18 berlangsung dari 20 hingga 30 Julai depan.

Dari aspek persiapan, anakanak buah C Sivasubramaniam mengikuti beberapa latihan pendedahan termasuk terbaharu menyertai Kejohanan Piala Razak di Kuala Lumpur dari 21 hingga 27 Mei lalu.

Sekalipun sekadar mencatat dua kemenangan selain dua kali seri dan empat tewas, pasukan itu semakin menunjukkan peningkatan positif apabila berjaya menyaingi kehebatan pasukan hoki wanita terbaik dari Semenanjung Malaysia.

Mereka tewas dua kali di tangan Pahang yang dibarisi enam pemain kebangsaan dan selebihnya bekas pemain kebangsaan dengan keputusan 5-1 dan 5-2 dalam aksi peringkat kumpulan.

Ini termasuk tunduk kepada Terengganu 2-0 dan Selangor dengan 5-2.

Bagaimanapun, Sarawak berjaya bangkit menundukkan Kedah 5-1 dan Pulau Pinang 5-3 selain seri 3-3 dengan Johor.

Secara keseluruhan, keputusan itu tidak mengecewakan Sivasubramaniam kerana pasukan seperti Selangor, Pahang dan Terengganu membariskan atlet-atlet kebangsaan berbanding Sarawak, Kedah dan Pulau Pinang yang menampilkan pemain-pemain SUKMA sepenuhnya.

Sungguhpun demikian, Sarawak masih mampu memberikan tentangan terutamanya semasa perlawanan menentang Pahang dan pemain negeri mempunyai tujuh situasi satu lawan satu dengan penjaga gol lawan namun gagal disudahi dengan baik.

Persembahan meyakinkan pemain-pemain pada kejohanan tersebut memberi keyakinan kepada Sivasubramaniam betapa Sarawak mampu mencapai sasaran untuk sampai ke peringkat separuh akhir pada temasya SUKMA XVIII nanti.

Berdasarkan rekod lalu, Sarawak berjaya sampai ke peringkat suku akhir pada SUKMA 2004 di Negeri Sembilan, muncul juara pada SUKMA 2006 Kedah dan gagal mencapai peringkat separuh akhir pada SUKMA 2008, 2010, 2012 dan 2014.

“Selepas melihat kemampuan mereka beraksi dengan hanya menjalani latihan terhad, saya yakin kita boleh mencapai sehingga ke peringkat separuh akhir.

“Namun perlu diingat, pasukan-pasukan lain kebanyakannya mempunyai sekolah sukan dan telah berlatih sepanjang tahun berbanding Sarawak.

“Bagaimanapun, kita berjaya menampilkan corak permainan taktikal dengan penuh disiplin dan paling penting tidak dibelasah walaupun berdepan pasukan terbaik dalam negara,” katanya.

Menurutnya, meskipun beliau akui pasukannya masih dibelenggu masalah penyudah yang tumpul atas factor kurang pengalaman namun pemain Sarawak, Suhaila Satta diangkat selaku penjaring terbanyak dengan 10 gol pada kejohanan tersebut.

Satu pencapaian yang amat menggembirakan menurut jurulatih itu sambil memuji pasukannya selepas bermain dengan penuh disiplin dan keyakinan menentang pasukan terbaik negara.

“Terpulanglah kepada pemain- pemain sendiri menentukan nasib Sarawak pada temasya SUKMA XVIII nanti dan saya berharap apa yang dipelajari mereka selama ini akan dijelmakan kepada keputusan yang positif dan menggembirakan kontinjen Sarawak,” jelasnya.