Keyakinan terus pertingkat kualiti

0

Ahli Dewan DBKU penggal baharu komited khidmat kepada masyarakat

// Oleh Jessica Jawing //

BAHARU: Abang Abdul Wahap (duduk kanan) dan Ismawi (duduk kiri) bersama ahli Dewan DBKU lain bagi penggal 2016-2019 merakam kenangan selepas mesyuarat pertama diadakan di Kuching, semalam.

BAHARU: Abang Abdul Wahap (duduk kanan) dan Ismawi (duduk kiri) bersama ahli Dewan DBKU lain bagi penggal 2016-2019 merakam kenangan selepas mesyuarat pertama diadakan di Kuching, semalam.

KUCHING: Barisan ahli Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) penggal baharu diyakini akan meningkatkan lagi perkhidmatan lebih berkualiti oleh DBKU kepada masyarakat.

Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, seramai 10 ahli Dewan DBKU baharu menerajui pentadbiran dewan bagi penggal 2016 hingga 2019 yang telah berkuat kuasa pada April lalu.

“Hari ini (semalam) merupakan kali pertama kita (ahli Dewan) mengadakan mesyuarat Dewan DBKU selepas pelantikan ahli-ahli baharu Dewan.

“Mereka memainkan peranan untuk membantu mentadbir kawasan DBKU selain ada tugas-tugas tertentu, yang mana terlibat dalam jawatankuasa seperti tender, pembangunan dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat pertama ahli Dewan DBKU di sini, semalam.

Barisan ahli Dewan DBKU itu terdiri daripada Abang Abdul Wahap, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Pentadbiran, Keselamatan dan Hal Ehwal Korporat) Datu Ismawi Ismuni dan Peguam Besar Negeri Datu Abdul Razak Tready, Setiausaha Kewangan Negeri Dato Sri Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Selain itu, turut membarisi ahli Dewan ialah Pengarah Tanah dan Survei Datu Sajeli Kipli, Pengarah Kerja Raya Sarawak Zuraimi Sabki, Datuk Wee Hong Seng, Datuk Grunsin Ayom, Datin Mary Sadiah Zainuddin dan Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie.

“Kita melihat dengan adanya ahli Dewan ini, mereka akan memberi input dan idea serta sokongan kepada DBKU untuk menentukan apa yang kita laksanakan kepada masyarakat berdasarkan kehendak rakyat.

“Ini kerana kita mahu memberi perkhidmatan terbaik dan dengan kerjasama mereka kita akan dapat mengetahui sama ada perkhidmatan kita berkualiti atau tidak kepada komuniti,” katanya.

Abang Abdul Wahap berkata, DBKU tidak mahu hanya melaksanakan sesuatu tanpa mengikut kemahuan dan kehendak rakyat kerana ia adalah penting.

Menurut beliau lagi, pemilihan barisan ahli Dewan itu atas pelantikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem dan yakin mereka yang dipilih adalah berkaliber dalam tugas masing-masing.

Sementara itu, Abang Abdul Wahap berkata DBKU merancang untuk meneruskan gelombong atau fasa kedua pelan pembangunan lima tahunnya iaitu Pelan Peningkatan CBS (Cantik, Bersih  dan Selamat) di kawasan tadbiran mereka.

Bagaimanapun, katanya, ia akan dikaji dan dirancang dengan lebih teliti terlebih dahulu selepas pelan pertama CBS (2013-2017).

“Kemungkinan besar akan ada satu perancangan lebih teliti mengenai ini, di mana kita melaksanakan fasa atau gelombang kedua pelan CBS kita untuk lima tahun berikutnya selepas 2017.

“Kita akan berbincang dahulu mengenai perkara ini terutamanya dalam Dewan DBKU yang baharu sahaja menerima ahli Dewannya yang menerajui penggal 2016-2019,” katanya.

Menurut Abang Abdul Wahap, DBKU akan membuat kajian lebih terperinci mengenai pelan CBS pertama yang bakal berakhir pada tahun hadapan untuk mengetahui kejayaannya.

Jelasnya bagi menjalankan perkara itu, DBKU bakal menjemput institusi pengajian tinggi awam tempatan terlibat sama untuk melakukan kaji selidik mengenai kejayaan pelan berkenaan.

“Pada masa sama DBKU sendiri akan membuat semakan untuk menentukan bahawa Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan tercapai atau tidak,” kata beliau.

Abang Abdul Wahap berkata, sebagai contoh pengurangan sisa sampah sarap domestik atau dari rumah di bawah kawasan DBKU yang menyasarkan 50 peratus pengurangan pembuangan dalam masa lima tahun berkenaan.

“Kita mahu melihat sama ada program ini berjaya atau tidak dengan membuat kajian mengenainya nanti.

“DBKU akan melihat kepada rumah-rumah yang telah dikenal pasti dan mengambil bahagian dalam program ini untuk mendapatkan hasilnya,” katanya.