RM5.5j bangun dua tebingan Sungai Miri

0

Pelbagai kemudahan, sebuah jeti untuk nelayan dan pemancing juga bakal dibina

// Oleh Clare Cinderella //

TARIKAN: Lai menunjukkan pelan projek pembinaan Tebingan Kampung Pengkalan Lutong, yang akan bermula dari depan balai raya (tempat berdiri) sepanjang 100 meter. Turut kelihatan ialah Ketua Kaum, Ali Mat (empat kiri) dan yang lainnya.

TARIKAN: Lai menunjukkan pelan projek pembinaan Tebingan Kampung Pengkalan Lutong, yang akan bermula dari depan balai raya (tempat berdiri) sepanjang 100 meter. Turut kelihatan ialah Ketua Kaum, Ali Mat (empat kiri) dan yang lainnya.

MIRI: Sejumlah RM5.5 juta diperuntuk bagi membangunkan dua tebingan atau ‘waterfront’ di sini iaitu Tebingan Miri dan Tebingan Kampung Pengkalan Lutong, yang kedua-duanya terletak di tebing Sungai Miri. Datuk Bandar Miri, Lawrence Lai berkata daripada jumlah itu, RM5 juta akan diperuntuk bagi membangunkan Tebingan Miri yang terletak bersebelahan Hotel Pullman dan di hadapan restoran makanan laut di Jalan Sri Dagang di Pusat Komersil Miri Waterfront di sini.

Selain membina pelbagai kemudahan, sebuah jeti untuk kemudahan nelayan dan pemancing juga akan dibina.

“Kita juga akan membina patung konkrit kuda laut besar, di tebing sungai menghadap ke muara Sungai Miri.

“Ia akan menjadi ikonik Miri, dibina seolah-olah ‘terapung’ di atas air dan memancutkan air, tidak ubah seperti patung konkrit Merlion yang menjadi ikonik Singapura,” jelas beliau.

Katanya, tender sudah diberikan kepada pihak kontraktor yang diluluskan dan kerja pembinaan projek akan bermula sebaik menerima kelulusan daripada Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

“Pada masa ini, kita terpaksa menunggu keputusan akhir daripada JTS kerana terdapat tuntutan bertindih ke atas projek.

“Sebaik masalah ini selesai dan JTS melulus tapak untuk kita, maka projek akan bermula segera dan dijangka siap dalam masa enam bulan,” katanya sambil berharap projek Tebingan Miri itu akan siap menjelang akhir Disember tahun ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke tapak projek Terbingan Kampung Pengkalan Lutong dekat sini, semalam. Hadir sama mengiringi beliau ialah pengerusi Jawatankuasa Projek Tebingan Kampung Pengkalan Lutong, Kr Julaihi Mohamad; Ketua Kaum, Ali Mat serta beberapa ahli MBM serta penduduk kampung.

Lai memberitahu sejumlah RM500,000 lagi, diperuntukkan bagi membina Tebingan Kampung Pengkalan Lutong di Lutong dekat sini.

Tebingan tersebut kelak akan dibina bermula dari tebing Sungai Miri di hadapan balai raya kampung berkenaan, sejauh 100 meter menghala ke arah Jambatan Lutong.

“Tender untuk projek ini juga sudah diberikan kepada pihak kontraktor dilantik dan kerja pembinaan dijangka bermula awal Julai ini, sebaik kita menerima kelulusan daripada JTS berhubung reka bentuknya.

“Projek ini akan mengambil masa selama tiga bulan untuk disiapkan dan apabila siap sepenuhnya pada September kelak, ia menambahkan lagi jumlah destinasi pelancongan dan mampu menjadi tarikan pelawat ke Miri,” jelas Lai.

Sementara itu, Julaihi berharap projek berkenaan akan berjalan dengan lancar, kerana ia bukan sahaja bakal mengindahkan lagi kampung berkenaan.

“Apa yang unik ialah Kampung Pengkalan Lutong ini adalah satu-satunya kampung di sini mempunyai tebingan dan bakal mempopular Kampung Pengkalan Lutong serta memberi kebaikan kepada pembangunan masyarakat di sini,” tambahnya.

Julaihi berkata, apabila tebingan ini siap kelak, ia akan dijadikan tempat untuk acara regata, pertandingan memancing, pertandingan bot kawalan jauh dan lain-lain lagi.

Dalam perkembangan lain pula, Lai memberitahu bahawa projek Pasar Morsjaya sudah siap sepenuhnya dan kini pihak majlis diketuai pengerusi jawatankuasa projek, Kaunselor Kueh Chie Tiong dalam proses menemubual penjaja yang layak dan berpotensi.

“Kita akan membuat keputusan mengenainya pada petang ini (semalam), sebagai keputusan sudah ada kita akan maklumkan kepada penjaja dan boleh membenarkan mereka untuk mula berniaga dalam sehari dua ini,” katanya sambil memberitahu seramai 200 orang telah mengemukakan permohonan mereka namun hanya 81 sahaja (berdasarkan jumlah lot) yang akan diterima kelak.

Ia akan menempatkan penjaja sayur, buah-buahan, kuih-muih dan sebagainya serta pada masa yang sama akan membentu mengataasi masalah penjaja haram dan kesesakan jalan raya di kawasan Morsjaya itu.