Pengguna jalan raya digesa patuhi had laju

0

Turunkan had laju 80km /j kepada 70km/j seperti ditetapkan pada musim perayaan sehingga 13 Julai

UTAMAKAN KESELAMATAN: Herdiansah memakaikan topi keledar motosikal kepada salah seorang penunggang motosikal semasa kempen berkenaan.

UTAMAKAN KESELAMATAN: Herdiansah memakaikan topi keledar motosikal kepada salah seorang penunggang motosikal semasa kempen berkenaan.

KOTA KINABALU: Pengguna jalan raya diingatkan agar menurunkan had laju daripada 80 km/j kepada 70 km/j seperti ditetapkan sempena musim perayaan ini, iaitu sehingga 13 Julai depan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Sabah, Herdiansah Abdul Karim berkata pewartaan yang diumumkan Menteri Pengangkutan Malaysia itu adalah kaedah pencegahan kemalangan disebabkan memandu terlalu laju.

“Pengguna jala raya perlu mengikut peraturan ditetapkan untuk mengelak mereka dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak penguat kuasa sepanjang tempoh diberikan.

“Sekiranya pengguna jalan raya didapati melanggar peraturan had laju ini, pihak penguat kuasa berhak mengenakan bayaran denda maksimum sehingga RM300,” katanya semasa sidang media selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersepadu Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2016 di sini kelmarin.

Selain itu, Herdiansah turut mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa peka akan keadaan sekeliling terutama apabila melalui kawasan projek penyelenggaraan jalan raya.

Katanya, pihak kontraktor juga perlulah memastikan adanya pemasangan papan tanda seperti tanda amaran, pencahayaan di sekitar kawasan projek bagi mengurangkan risiko berlakunya kemalangan.

“Pengguna harus berhati-hati dan rancang perjalanan terlebih dahulu khususnya melibatkan kawasan pantai timur kerana banyak proses penyelenggaraan jalan raya sedang dijalankan di sana.

“Usaha ini perlu ada kerjasama daripada semua pihak agar kita dapat mengurangkan 50 peratus kemalangan jalan raya pada musim perayaan sepertimana operasi terdahulu,” katanya.

Terdahulu, kempen berkenaan turut mendapat kerjasama rakan strategik JKJR iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Bomba dan Penyelamat, PUSPAKOM Sabah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), NIOSH Sabah, dan Sabah Skill Technology Centre (SSTC).

Sebanyak 150 kit keselamatan jalan raya, jaket keselamatan, topi keledar motosikal dan juga pengagihan bubur lambuk sumbangan SSTC diberikan kepada pengguna jalan raya pada kempen berkenaan.