Curi motosikal dibanteras

0
RAMPAS: Skuter Suzuki yang dirampas daripada dua lelaki warga Indonesia pernah dilapor hilang.

RAMPAS: Skuter Suzuki yang dirampas daripada dua lelaki warga Indonesia pernah dilapor hilang.

TA03544

OPS LEJANG: Pasukan D4 dan D7 ketika melakukan pemeriksaan dan tangkapan di Kampung Bahagia Jaya, Teku petang kelmarin.

OPS LEJANG: Pasukan D4 dan D7 ketika melakukan pemeriksaan dan tangkapan di Kampung Bahagia Jaya, Teku petang kelmarin.

Oleh Michael Ubam //

SIBU: Pasukan Polis D4 dan D7 IPD Sibu kembali melancarkan operasi dikenali sebagai Ops Lejang dalam usaha membanteras jenayah kes curi motosikal di bandar ini.

Dalam operasi diketuai Ketua JSJ Sibu DSP Yeoh Chun Syhan, tiga lelaki tempatan berumur 25 hingga 40 tahun berjaya ditahan di Kampung Bahagia Jaya, Teku untuk membantu siasatan berhubung kes curi motosikal petang kelmarin.

Tangkapan pertama dilakukan apabila polis menahan seorang lelaki  berumur 28 tahun di Lorong Burung Serendit, Kampung Bahagia Jaya pada 2.30 petang.

Lelaki itu baharu keluar dari Pusat Serenti Kimanis, Papar, Sabah pada pertengahan bulan November 2015 dan pernah ditangkap pada 2012 atas kesalahan ceroboh masuk tanpa kebenaran.

Tangkapan kedua dibuat ke atas seorang lelaki berusia 25  di Lorong Burung Tempua, Kampung Bahagia Jaya, Teku pada jam 3 petang, manakala seorang lagi ditahan di Lorong Burung Layang-Layang Kampung Bahagia Jaya pada 3.45 petang.

Lelaki ketiga pernah ditangkap sebanyak enam kali atas kesalahan narkotik.

Polis kini sedang mengesan dua lagi lelaki dipercayai turut terbabit melakukan jenayah kes curi motosikal.

Polis percaya, ketiga-tiga lelaki terbabit merupakan ahli kumpulan yang sama melakukan jenayah curi motosikal.

Terdahulu, pasukan Unit Ronda Bermotosikal (URB) berjaya menahan dua lelaki warga Indonesia dan merampas sebuah motosikal curi jenis Suzuki AG100 di Jalan Pedada pada jam 7.15 malam Khamis lalu.

Semasa pasukan URB cuba menahan dua lelaki menunggang motosikal tersebut dalam keadaan mencurigakan, mereka bertindak melarikan diri.

Namun, kedua-dua suspek berjaya ditangkap di kawasan perumahan Rejang Park dan hasil pemeriksaan lanjut kedua-dua warga asing tersebut tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Pemeriksaan ke atas motosikal terbabit mendapati ia menggunakan plat nombor pendaftaran palsu dan pemeriksaan nombor enjin pula mendapati ia pernah dilapor hilang.

Kedua-dua lelaki tersebut telah dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan akan disiasat untuk kesalahan di bawah Akta Imigresen.