Dua lelaki ditahan simpan dadah dalam kotak rokok

0
DISOAL SIASAT: Kedua-dua suspek yang ditahan oleh anggota polis yang membuat rondaan di Jalan Jiwa Murni Belaga.

DISOAL SIASAT: Kedua-dua suspek yang ditahan oleh anggota polis yang membuat rondaan di Jalan Jiwa Murni Belaga.

Satu plastik lut sinar dan dua tiub straw syabu ditemui

Oleh Ambrose Rirang //

BINTULU: Dua lelaki ditahan atas kesalahan memiliki dadah dalam tangkapan dilakukan unit peronda polis (MPV) Daerah Belaga di Jalan Projek Jiwa Murni, Belaga sekitar jam 5.10 petang kelmarin.

Menurut maklumat  diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga, semasa unit  polis membuat rondaan di jalan berkenaan, kedua-dua pegawai polis terserempak sebuah motosikal dinaiki dua individu  dalam keadaan mencurigakan.

Melihat keadaan sedemikian, unit peronda polis menahan kedua-dua individu sebelum mengarahkan kedua-duanya berhenti bagi memudahkan urusan pemeriksaan dijalankan.

Hasil pemeriksaan dijalankan ke atas poket seluar pendek salah seorang suspek menemui satu kotak rokok jenama Parkway yang mengandungi satu plastik lut sinar dan dua tiub straw mengandungi dadah jenis syabu.

Kedua-dua suspek ditahan serta-merta bagi membantu siasatan berhubung penemuan dadah berkenaan.