Kadar bantuan bencana alam akan dikaji semula

0

Ubah suai kadar bantuan semasa yang tidak pernah diteliti semula lebih daripada 10 tahun: Fatimah

Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Sarawak akan mengkaji semula kadar bantuan bencana alam daripada Jabatan Kebajikan Masya-rakat (JKM) secara holistik dan menyeluruh agar ia rele-van dengan masa kini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah berkata kadar bantuan bencana alam sedia ada tidak pernah dikaji atau diteliti semula lebih daripada 10 tahun.

“Kadar bantuan ini tidak pernah diteliti semula lebih daripada 10 tahun dan kita sebenarnya telah mengemuka-kan kertas cadangan untuk dipertimbangkan kabinet negeri iaitu ubah suai kadar sekarang.

“Ia bukan sahaja merujuk kepada jumlah bantuan sahaja tetapi secara menyeluruh termasuk bantuan bahan binaan, bantuan wang tunai sekali gus, pakaian seragam sekolah, pakaian harian dan semuanya akan diteliti semula,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan ke rumah mangsa akibat angin kencang di Jalan Permata 1 yang dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang, See Chee How di sini, semalam.

Jelas Fatimah, mengikut kadar semasa bagi bantuan bahan binaan setiap mangsa bencana akan menerima RM2,500 manakala bagi bantuan sekali gus RM40 untuk setiap seorang keluarga mangsa, pakaian sekolah bagi mereka yang bersekolah dan bantuan barang dapur bagi bencana kebakaran.

“Kami telah dinasihatkan untuk meneliti semula semua bantuan ini secara holistik dan tidak menumpukan kepada jumlah bantuan sahaja.

“Ia arahan diberikan kepada kami. Sebelum ini bantuan yang dikemukakan adalah hanya spesifik berdasarkan kepada aspek tertentu tetapi kali ini ia merangkumi semua aspek,” tegas Fatimah.

Berhubung mangsa yang terjejas itu, Fatimah berkata, terdapat lima buah rumah yang mengalami kerosakan terutamanya bumbung yang diterbangkan dalam kejadian angin kencang pada Rabu, 6 Julai lepas.

“Namun hari ini (semalam) kita menyerahkan bantuan wang tunai sekali gus terlebih dahulu sebagai bantuan segera kepada 15 penerima.

“Sementara bagi bantuan bahan binaan akan kita berikan kepada mangsa pada minggu hadapan selepas pejabat mula beroperasi,” katanya sambil memberitahu bagi mangsa yang terjejas sedikit sahaja, juga akan menerima bantuan wang tunai sekali gus.

Beliau pada masa yang sama melahirkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang tampil membantu mangsa, See Chee How (Naib Pengerusi PKR Negeri) serta pihak lain yang turut prihatin terhadap mangsa.

Ketua Bomba Zon Ku-ching Tiong Ling Hee ketika ditemui berkata, ia merupakan kejadian tidak pernah berlaku dan paling teruk seumpamanya sejak beliau bertugas di negeri ini.

Hadir sama, Pengarah JKM Sarawak Abang Shamshudin Abang Seruji dan Naib Ketua Wanita PKR Voon Shiak Ni.