S’wak antara pembentuk M’sia, berbeza taraf dengan negeri lain: Abg Johari

0

SIBU: Sarawak tidak boleh disamakan seperti mana-mana negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu kerana ia rakan kongsi dengan tiga kerajaan berdaulat lain yang membentuk Malaysia.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, ini adalah pendirian kerajaan negeri dalam usaha rundingan penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan.

Beliau berkata, usaha rundingan penurunan kuasa ini adalah atas dasar kepada apa yang telah dipersetujui pada tahun 1963.

“Terdapat empat kerajaan berdaulat membentuk Malaysia iaitu Persekutuan Tanah Melayu, kerajaan Singapura, kerajaan Borneo Utara dan Sarawak.

“Jadi dalam erti kata lain Sarawak tidak boleh disamakan seperti mana-mana negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem merasmikan Rumah Terbuka Aidilfitri 2016 PBB Nangka di Dewan MUC di sini, semalam.

Terdahulu, Abang Johari berserta rombongan menghadiri majlis sama di Dewan Melayu Melanau Bersatu (MMB).

Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian menggesa perkataan negeri akan digugur apabila berurusan kerajaan persekutuan mulai sekarang untuk menunjukkan kesungguhan Sarawak memperjuangkan autonomi.

Dr Sim, yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah berkata, Sarawak adalah salah satu daripada empat wilayah dalam membentuk Malaysia pada 1963.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, penurunan kuasa adalah satu isu kompleks selain melibatkan soal teknikal.

“Kita perlu berbincang dengan lebih lanjut mengenai aspek tertentu,” jelasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, pada hari raya kedua, rombongan CCTV 4 dari China datang ke Sarawak  mendokumentasikan bagaimana Sarawak meraikan hari raya.

Menurutnya, pasukan tersebut amat kagum dengan keharmonian kaum di negeri ini kerana masyarakat dari pelbagai latar belakang bersama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Mengenai politik, beliau menyatakan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri lepas membayangkan tanggungjawab besar untuk Pasukan Adenan.

“Untuk itu kita dalam BN Negeri akan berusaha bersungguh-sungguh untuk merealiasasikan impian rakyat dalam tempoh lima tahun ini,” jelasnya.