Lesen Qistna Express digantung berkuat kuasa semalam

0

KUALA LUMPUR: Lesen serta 26 permit bas yang dipegang syarikat Qistna Express Sdn Bhd digantung serta-merta berkuat kuasa semalam,kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata penggantungan lesen untuk tempoh sebulan itu bermula semalam sehingga 13 Ogos depan.

“Ia dilakukan berikutan syarikat terbabit tidak mematuhi Kod Amalan Industri SPAD (Keselamatan) atau ‘SPAD ICOP Safety’ dan syarat-syarat Lesen Pengendaliyang lain.

“Setelah ia digantung, tiket-tiket yang telah dibeli pengguna akan dipulangkan semula atau dialihkan kepada syarikat operator bas lain,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya pihak Terminal Bas Sepadu (TBS) akan membantu dalam menguruskan soal pertukaran penumpang bas Qistna Express kepada syarikat operator bas yang lain.

Menurut Syed Hamid, SPAD akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi memastikan kesemua pengendali bas menjalankan operasi dengan kenderaan mereka berkeadaan baik dan mematuhi segala peraturan lalu lintas serta keselamatan jalan raya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di TBS mendapati notis penggantungan syarikat bas itu telah mula ditampal di sekitar terminal bas berkenaan.

Dalam pada itu, pegawai SPAD turut memaklumkan sistem penjualan tiket bas tersebut di semua kaunter tiket telah dihentikan bermula petang kelmarin.

Ahad lepas, sebuah bas ekspres milik syarikat itu telah merempuh 10 kenderaan lain di Kilometer 265.8, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora. — Bernama