Peguam muda perlu tingkat kemahiran guaman

0
INTEGRITI: Ariffin (tengah) bergambar Md Raus (empat kiri), Zulkefli (tiga kanan), Noor Azlan (empat kanan), Ahmad Maarop (tiga kiri) pada majlis menandatangani dokumen perjanjian persefahaman antara Mahkamah Persekutuan Malaysia dengan UKM di Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

INTEGRITI: Ariffin (tengah) bergambar Md Raus (empat kiri), Zulkefli (tiga kanan), Noor Azlan (empat kanan), Ahmad Maarop (tiga kiri) pada majlis menandatangani dokumen perjanjian persefahaman antara Mahkamah Persekutuan Malaysia dengan UKM di Istana Kehakiman, Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Standard dan kualiti peguam terutamanya peguam muda perlu dipertingkatkan terutamanya dalam kemahiran kepeguaman, kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Jelasnya, perkara tersebut adalah berdasarkan pemerhatiannya.

“Kebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris perlu diseimbangkan dengan kemahiran berhujah. Ini kerana ramai peguam boleh bertutur dengan baik dalam bahasa Inggeris tetapi gagal berhujah dengan bagus,” katanya.

Arifin berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Istana Kehakiman di sini semalam.

Katanya, seorang pengamal undang-undang yang cemerlang perlu bebas, berkualiti, berintegriti, terlatih dan tidak bergantung kepada kecemerlanganakademik semata-mata.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu, Arifin berkata kadang-kadang peguam mengkritik penghakiman (hakim) dengan mengatakan ia tidak sebagus kualiti hakim dan penghakiman sebelumnya.

“Tetapi kualiti (penghakiman hakim-hakim sekarang) juga mencerminkan kualiti peguam. Saya tidak mengatakan bahawa kualiti kami teruk. Tetapi itu pendapat mereka (persepsi peguam), yang pastinya akan saya nafikan.

“Kualiti kami sama baik dengan hakim terdahulu atau penghakiman sebelum ini. Kecuali tindak balas saya, jika anda mengatakan kualiti (penghakiman) kami teruk, maka anda juga sama teruk,” katanya.

Arifin berkata, pelajar yang berkualiti baik akan menjadi peguam yang baik untuk berkhidmat kepada badan kehakiman, peguam negara serta sebagai peguam,sekali gus memberi manfaat kepada orang awam.

Mengenai MoU yang ditandatangani semalam, beliau menyifatkan badan kehakiman negara mencipta sejarah kerana buat julung kalinya, kerjasama diadakan bersama sebuah institusi pengajian tinggi awam.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datin Latifah Mohd Tahar dan Naib Canselor UKM Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

MoU berkenaan akan memberi fokus kepada tujuh skop kerjasama di antara Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan UKM.

Antara lain ia meliputi hak terhadap akses penerbitan, pelaksanaan program ‘judicial clerkship’, kemudahan penyelidikan, penempatan pelajar dan ahli akademik, program sangkutan pelajar dan ahli akademik, mentoring, kursus serta persidangan dan penggunaan bahan rujukan bagi penyelidikan. — Bernama