Buat sehabis baik

0

Adenan tiup semangat atlet SUKMA Sarawak, jangan jadikan insentif sebagai motivasi kejayaan.

SELAMAT BERJUANG!: Adenan, Jamilah dan tetamu jemputan bersama atlet SUKMA Sarawak melaungkan kata-kata semangat selepas majlis penyerahan bendera Sarawak di UNIMAS, semalam.

SELAMAT BERJUANG!: Adenan, Jamilah dan tetamu jemputan bersama atlet SUKMA Sarawak melaungkan kata-kata semangat selepas majlis penyerahan bendera Sarawak di UNIMAS, semalam.

Oleh Mohd Shafik Ahmad //

KOTA SAMARAHAN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menyeru atlet-atlet SUKMA negeri agar menerapkan semangat juang tinggi serta berusaha melakukan sehabis baik demi Sarawak.

Beliau berkata, tawaran insentif semata-mata tidak harus dijadikan sumber motivasi untuk mencapai kejayaan.

“Sarawak kini bergantung kepada anda untuk melakukan yang terbaik dalam sukan ini, apa sahaja yang anda lakukan, buat dengan terbaik,” ujarnya.

Adenan berkata demikian semasa berucap pada majlis penyerahan bendera negeri kepada Ketua Kontinjen Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) XVIII Sarawak 2016 di Dewan Tunku Abdul Rahman (DeTAR) Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), semalam.

Mengulas berkenaan sistem ganjaran, Adenan menekankan atlet tidak harus terlalu memikirkan tentang insentif yang diberikan kerajaan negeri kepada sesiapa yang meraih pingat.

“Kita ada sistem ganjaran untuk setiap pingat yang diperoleh atlet, tetapi jangan jadikannya sebagai motivasi kepada anda.

“Lakukan yang terbaik, bukan sekadar untuk mendapatkan insentif yang diberikan,” tegas Adenan yang yakin dengan kemampuan kontinjen Sarawak untuk mempamerkan aksi cemerlang sepanjang temasya sukan berprestij tanah air yang akan menyingkap tirai saingan pada 22 hingga 31 Julai ini.

Adenan berkata, Sarawak mensasarkan untuk menjadi juara keseluruhan sekali gus mengulangi kejayaan tiga tahun berturut-turut pada 1990, 1992 dan 1994.

“Sasaran kita ialah untuk menjadi pasukan terbaik, saya yakin anda boleh melakukannya dan jangan mudah berputus asa, jika tidak, anda jangan lakukan,” ujarnya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing, Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Belia dan Sukan merangkap Chef-De-Mission Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.