Rugi besar

0

Oleh Jeremy Lanson//

KEJAYAAN: Anggota APMM sedang mengawal nelayan asing yang berjaya ditahan ketika sedang menangkap ikan di perairan Sarawak.

KEJAYAAN: Anggota APMM sedang mengawal nelayan asing yang berjaya ditahan ketika sedang menangkap ikan di perairan Sarawak.

KUCHING: Tindakan tegas akan diambil terhadap rakyat tempatan yang didapati membantu nelayan asing menceroboh dan mencuri hasil laut di perairan negeri.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuching Komander Maritim Shahref Steve Mac Queen berkata, Sarawak kehilangan kira-kira 300,000 kilogram (kg) hasil laut dalam tempoh setiap dua hingga tiga bulan akibat dicuri nelayan asing dipercayai dengan bantuan pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam tempoh tersebut, katanya, sekurang-kurangnya 30 bot nelayan asing masing-masing dengan muatan sehingga 10,000kg hasil laut akan menceroboh perairan negeri.

“Kalau dilihat saiz bot ini memang tidak besar, namun kita percaya ada ‘mother ship’ (kapal induk) iaitu kapal lebih besar berada di perairan antarabangsa yang berperanan menyimpan hasil tangkapan bot-bot kecil ini.

“Difahamkan, setiap ‘mother ship’ mempunyai 30 bot kecil yang akan memasuki dan berada di perairan kita untuk tempoh dua hingga tiga bulan.

“Bot-bot ini sangat licik dan terdapat laporan mengatakan ada rakyat tempatan yang membantu mereka dengan menyalurkan maklumat mengenai pergerakan kita, sekali gus menyukarkan kita untuk mengesan mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Muara Tebas di sini, semalam.

Malah, katanya, berdasarkan laporan ada rakyat tempatan yang sanggup bersubahat dengan menyalurkan bekalan makanan kepada mereka (nelayan asing).

“Untuk membuktikan mengenai perkara tersebut memang susah, tetapi saya memberi amaran bahawa kami akan menangkap mereka tidak kiralah sekarang atau selepas ini,” tegas beliau.

Pada sidang media itu, Shahref turut memberitahu pihaknya berjaya menahan sembilan nelayan asing pada 16 Julai lalu di kedudukan 85 batu nautika ke utara Tanjung Po.

“Pemeriksaan mendapati terdapat seorang tekong dan lapan awak-awak berusia lingkungan 17 hingga 36 tahun berada di dalam bot berkenaan dan dipercayai berasal dari Vietnam.

“Didapati juga lebih kurang 1,500kg ikan dianggarkan bernilai RM10,000 di dalam tempat menyimpan ikan bot tersebut,” katanya sambil menambah, kesemua nelayan asing tersebut direman 14 hari untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, kejayaan itu adalah yang kelima pada tahun ini dan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 yang membawa hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara jika disabitkan kesalahan.

APMM selain itu turut memohon orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke Pusat Operasi APMM Sarawak menerusi talian 082-432544.