Dua cedera selepas kereta bertembung

0
BERTEMBUNG: Kemalangan antara kereta Toyota Corolla dan Perodua Myvi di Jalan Pasi/Meradong, semalam.

BERTEMBUNG: Kemalangan antara kereta Toyota Corolla
dan Perodua Myvi di Jalan Pasi/Meradong, semalam.

SARIKEI: Dua pemandu cedera setelah kereta dipandu masing-masing bertembung di Jalan Pasi/Meradong, dekat sini semalam.

Kemalangan ini melibatkan pertembungan dua kereta dari jenis Toyota Corolla dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei Superintenden Mat Jusoh Muhamad berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 6.50 pagi.

“Dalam kejadian ini, pemandu kereta Toyota Corolla, seorang lelaki yang berusia 51 sedang dalam perjalanan ke tempat kerja iaitu dari Sarikei ke Konawit.

“Sementara itu, pemandu Perodua Myvi, 56, sedang dalam perjalanan dari Sungai Kabu menuju ke pusat bandar Sarikei untuk menghantar anaknya ke sekolah.

“Punca kemalangan ini masih dalam siasatan pihak polis dan kita masih lagi menunggu laporan daripada kedua-dua pemandu terbabit,” kata Mat Jusoh kepada media, semalam.

Kedua-dua pemandu tercedera telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Sarikei dengan menggunakan ambulans.

Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Mahmud bersama lapan anggota serta sebuah jentera turut dimaklumkan mengenai kemalangan ini dan berada di lokasi bagi bersiap sedia menghulurkan bantuan kepada mangsa kemalangan terbabit.