Lebih 1,500 tetamu Majlis Berjarah Raya SMKAMi dihibur pelbagai aktiviti pentas

0

MIRI: Majlis Berjarah Raya Bersama Pemimpin SMK Agama Miri (SMKAMi) malam kelmarin dirai meriah dengan kehadiran lebih 1,500 tetamu dihibur pelbagai aktiviti pentas.

Antaranya persembahan Kompang Formasi (bekas johan peringkat negeri), angklong (menyertai pertandingan peringkat antarabangsa anjuran Cemeo International) dan Nasyid (wakil negeri Sarawak dalam Karnival Dakwah Kebangsaan)

Aktiviti dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan Kelab Guru Sarana Ibu Bapa.

Ahli Parlimen Sibuti merangkap Penaung PIBG, Ahmad Lai Bujang hadir merasmikan majlis dan menyampaikan insentif kepada 35 pelajar cemerlang.

Beliau turut mengumumkan geran sebanyak RM20,000 untuk PIBG sekolah.  Selain Ahmad Lai, sekolah turut menerima geran RM5,000 masing-masing dari Menteri Muda Pelancongan dan ADUN Senadin, Datuk Lee Kim Shin dan ADUN Lambir, Ripin Lamat.

Hadir sama ialah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Julani Mokhtar dan Sharkawi Suhaili,  Pengerusi PIBG, Marini Juraibi, Temenggong Abdul Rahman Fadzail dan kaunselor Aries Leong.