Jumpa di Perak 2018

0
CENDERAMATA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima cenderamata daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem (kiri) pada majlis penutupan SUKMA ke-18 di Stadium Sarawak. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (tiga kiri) malam tadi. — Gambar Bernama

CENDERAMATA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima cenderamata daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem (kiri) pada majlis penutupan SUKMA ke-18 di Stadium Sarawak. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (tiga kiri) malam tadi. — Gambar Bernama

Prestasi atlet SUKMA XVIII paling cemerlang dalam sejarah penganjuran

KUCHING: Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-18 melabuhkan tirai di Stadium Sarawak malam tadi merupakan antara yang terbaik dari segi prestasi atlet-atlet muda tempatan selepas enam rekod kebangsaan dan 57 rekod baharu berjaya dicipta.

SUKMA 2010 di Melaka masih mengekalkan pencapaian terbaik dari segi prestasi atlet dengan 15 rekod kebangsaan dan 88 rekod berjaya dipecahkan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata pihaknya amat berpuas hati dengan pencapaian cemerlang SUKMA kali ini dengan kebanyakan rekod dipecahkan oleh atlet pelapis negeri dan kebangsaan.

“Menerusi rumusan kita lakukan, prestasi atlet remaja di bawah 21 tahun masih baik pada SUKMA kali ini dan menunjukkan program persediaan selama dua tahun selepas edisi 2014 di Perlis amat berjaya.

“Justeru itu, kita ingin ucapkan berbanyak tahniah dan terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri, Sekolah Sukan dan sebagainya membantu kita menyediakan atlet terbaik,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Pencapaian cemerlang itu menjadi medan terbaik untuk kontinjen negara menampilkan persembahan lebih cemerlang pada Sukan SEA 2017 yang bakal dihoskan nanti.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi memaklumkan pihaknya akan menilai prestasi cemerlang ditampilkan atletatlet pelapis negeri untuk diserapkan ke dalam ‘Program Kita Juara’ yang bermatlamat menyediakan atlet terbaik negara pada Sukan SEA 2017.

“Beberapa atlet sedia ada di bawah ‘Program Kita Juara’ gagal mencapai sasaran ditetapkan dan prestasi mereka dinilai pada bengkel khas bersama Persatuan Sukan Kebangsaan yang dijangka diadakan sama ada bulan depan atau September ini.

Sejumlah 1,453 atlet daripada keseluruhan 4,422 atlet menyertai SUKMA ke-18 merupakan atlet di bawah program MSN.

Daripada jumlah tersebut, seramai 200 atlet adalah daripada Program Kita Juara, 248 atlet daripada Program Pelapis Kebangsaan manakala 1,005 atlet adalah daripada Program Pelapis Negeri.

Raja Pecut Kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan dari Melaka merupakan atlet paling menyinar selepas memecahkan rekod 18 tahun acara 100 meter lelaki dengan catatan 10.18 saat, sekaligus memadam rekod terdahulu, 10.30 saat yang dicipta bekas pelari pecut kebangsaan, Watson Nyambek dari Sarawak pada 1998.

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Kota Tinggi itu turut memperbaharui rekod Sukma dalam acara 200 meter (21.03 saat), 4×100 meter (39.89 saat) dan 4×400 meter (3 minit 12.66 saat) bersama kuartet Melaka.

Selangor muncul juara keseluruhan SUKMA buat kali kesembilan sejak edisi penganjuran pada 1986 di Kuala Lumpur menerusi kutipan 59 emas, 73 perak dan 63 gangsa disusuli Sarawak (57-43-59) dan Terengganu (47-42-44).

Perak bakal menjadi tuan rumah untuk edisi 2018.  — Bernama