Lahir generasi kreatif jika mahu negeri maju

0

TA03737

RASMI: Sharifah Hasidah (tengah) bersama Hasri (kiri) dan Thompson menyaksikan persembahan kanak-kanak Tadika Perpaduan.

RASMI: Sharifah Hasidah (tengah) bersama Hasri (kiri) dan Thompson menyaksikan persembahan kanak-kanak Tadika Perpaduan.

Kreativiti dan inovasi perlu dibangun dan dikembangkan di peringkat kanak-kanak: Sharifah Hasidah

Oleh Clare Cinderella //

MIRI: Sarawak perlu melahirkan anak-anak atau generasi muda yang kreatif dan berinovasi jika mahu melihat negeri ini maju pada masa depan.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, kreativiti dan inovasi perlu dibangun dan dikembangkan di peringkat kanak-kanak.

“Jika kita mahu melihat negeri ini maju pada masa depan maka kita perlu melahirkan generasi yang kreatif, pintar dan berinovasi.

“Perkembangan pemikiran kreatif dan pintar juga perlu dibangunkan dalam suasana integrasi dan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini agar ia seiring,” katanya pada Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan Bahagian Miri 2016 di sini semalam.

Sharifah Hasidah mahu guru-guru yang bertugas meskipun hanya di peringkat tadika, memainkan peranan lebih berdedikasi membentuk kreativiti dalam integriti dan perpaduan dalam kalangan anak-anak kecil.

“Justeru, Tadika Perpaduan ditubuhkan untuk kalangan pelbagai peringkat kanak-kanak.

“Manakala program hari ini (semalam) mendidik anak-anak supaya lebih kreatif serta pintar dan bersatu hati tanpa mengira kaum dan agama.

“Dengan adanya integrasi nasional dalam kalangan kaum kita maka amat penting kita menjaga dan memuliharanya sampai bila-bila agar negeri ini kekal aman, bersatu padu dan membangun dengan stabil,” katanya.

Sebanyak 36 tadika perpaduan di sini menyertai program berkenaan, menyaksikan pertandingan inovasi pengajaran dan pembelajaran (PDP) antara Tadika Perpaduan dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Sarawak.

Turut diadakan ialah persembahan pentas oleh kanak-kanak yang digabungkan daripada beberapa tadika (mengikut zon masing-masing).

Turut hadir Ketua Unit Pendidikan Awal Kanak-Kanak JPNIN Sarawak Thompson Ted Teddy, wakil Pegawai Perpaduan Bahagian Miri Hasri Ali serta ibu bapa.