Serap atlet SUKMA

0
MERIAH: Persembahan bunga api berwarni-warni memeriahkan majlis penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-18 di Stadium Sarawak malam tadi. — Gambar bernama

MERIAH: Persembahan bunga api berwarni-warni memeriahkan majlis penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-18 di Stadium Sarawak malam tadi. — Gambar bernama

Ahmad Zahid mahu jaguh SUKMA diwajib wakili negara bagi beri peluang mereka bertanding di peringkat antarabangsa.

Oleh Nick Fletcher dan Rusnan Mustafa //

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu jaguh-jaguh sukan yang digilap daripada Sukan Malaysia (SUKMA) wajib diserapkan untuk mewakili negara bagi memberi peluang kepada atlet muda negara bertanding sehingga ke peringkat antarabangsa dan dapat mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Menurut beliau, ini kerana SUKMA telah terbukti dalam menghasilkan tokoh-tokoh sukan yang mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa seperti Watson Nyambek yang memegang rekod pecut 100m negara selama 18 tahun, jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei, ratu terjun Pandelela Rinong dan bintang skuasy Nicole David.

“Saya minta Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin memastikan hasil daripada produk SUKMA ini wajib berada di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Saya berharap kita dapat melahirkan jaguh sukan yang bukan sekadar di gelanggang sendiri atau hanya juara kampung tetapi merupakan jaguh antarabangsa yang dapat mengharumkan nama Malaysia di seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Rasmi SUKMA Ke-18 Sarawak 2016 di Stadium Sarawak, Petra Jaya malam tadi.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA 2016 Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Dalam pada itu, Zahid yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut menegaskan agar segala kemudahan sukan yang ada di setiap negeri harus digunakan dengan baik sepanjang masa untuk membangunkan atlet-atlet muda.

“Aspek pembangunan atlet muda negara tidak harus dilakukan secara bermusim tetapi kita mesti melakukannya dengan berteraskan latihan jangka panjang yang berstruktur dan komprehensif.

“Maka itu, saya tidak mahu venue-venue sukan yang hebat ini terbiar… ia mesti digunakan untuk menganjurkan pesta sukan sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa,” katanya.

Mengenai SUKMA Ke-18, beliau memuji kerajaan negeri atas kejayaan menganjurkan temasya dengan lancar tanpa sebarang masalah.

“Saya bagi pihak kerajaan Malaysia mengucapkan tahniah kepada tuan rumah di atas kesungguhan dan kehebatan menganjurkan SUKMA kali ini,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada semua atlet yang menyertai SUKMA kali ini terutama mereka yang berjaya memenangi pingat dan memecahkan rekod SUKMA dan kebangsaan.

Sementara itu, upacara penutupan rasmi SUKMA berlangsung dengan penuh warna-warni dan gilang-gemilang yang berkonsepkan ‘Semangat Anak Sarawak’.

Dianggarkan lebih 40,000 orang datang dari seluruh pelosok Sarawak menyaksikan penutupan temasya bertemakan ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian’ itu.

Upacara bermula dengan perarakan masuk atlet ke dalam stadium, yang turut menampilkan maskot temasya kali ini iaitu sepasang burung kenyalang bernama Satria (lelaki) dan Satrina (wanita).

Ia disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku, persembahan ‘Kamek Anak Sarawak’ serta tayangan video ‘Kecemerlangan Sukan Malaysia XVIII Sarawak 2016’.

Ahmad Zahid kemudian menyampaikan piala kepada Selangor yang muncul juara keseluruhan buat kali kesembilan selepas berjaya mengutip 59 pingat emas, 73 perak dan 63 gangsa.

Sementara atlet olahraga, Khairul Hafiz Jantan dan atlet memanah Nur Aqilah Yusof masing-masing dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati SUKMA Ke-18.

Sejurus itu diikuti upacara menurunkan bendera SUKMA sambil diiringi lagu SUKMA dan Timbalan Perdana Menteri seterusnya menyerahkan bendera kejohanan kepada negeri Perak Darul Ridzuan, tuan rumah bagi SUKMA XIX pada 2018.

Penampilan artis terkenal tanah air seperti Hafiz Suip, Dayang Nurfaizah, Dewi Liana Seriestha (Miss World 2014) dan Bob AF2 turut memeriahkan upacara tersebut.

Kemuncak majlis penutupan SUKMA, penonton terpukau dengan percikan bunga api yang mewarnai angkasa sekitar stadium.

Temasya dwitahunan ini yang berlangsung dari 22 hingga 31 Julai lepas, disertai hampir 6,000 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen termasuk kontinjen jemputan, Brunei serta membabitkan seramai 1,400 sukarelawan dan agensi.

Selaku tuan rumah kali ini, Sarawak menawarkan sebanyak 379 pingat emas, 379 perak dan 379 gangsa daripada 24 acara sukan membabitkan 25 venue di empat bahagian negeri ini iaitu Kuching, Samarahan, Miri dan Sibu.