Prestasi atlet Sarawak membanggakan

0

Abdul Karim janji pasukan lebih mantap pada temasya akan datang dengan kemudahan baharu

// Oleh Rusnan Mustafa //

CEMERLANG: Abdul Karim (dua kanan) bersama pegawai-pegawai sukan dan atlet Sarawak meraikan kejayaan pada SUKMA XVIII.

CEMERLANG: Abdul Karim (dua kanan) bersama pegawai-pegawai sukan dan atlet Sarawak meraikan kejayaan pada SUKMA XVIII.

KUCHING: Dengan kemudahan sukan baharu yang dibina untuk penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) di negeri ini, Ketua Kontijen Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menjanjikan pasukan yang lebih mantap pada temasya sukan itu masa akan datang.

Menteri Muda Belia dan Sukan itu menegaskan sebelum ini Sarawak sememangnya tidak mempunyai banyak kemudahan sukan yang berkualiti untuk melatih atlet-atletnya.

“Kita tidak mempunyai banyak kemudahan sukan yang baik dan kurang peluang untuk pendedahan atlet-atlet ke luar negara atau di Semenanjung Malaysia kerana kos tinggi berlainan dengan pasukan-pasukan negeri dari Semenanjung Malaysia yang dapat berhubung serta terlibat dalam apa-apa kejohanan dianjurkan dengan mudah.

“Namun, dalam kekurangan ini saya boleh katakan bahawa apa yang ditunjukkan atlet-atlet Sarawak pada SUKMA XVIII kali ini adalah cukup baik.

“Dengan kemudahan baharu dibina untuk SUKMA XVIII di sini, pasukan Sarawak dapat mengetengahkan pasukan lebih mantap untuk SUKMA akan datang,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Pada masa sama, Abdul Karim turut berpuas hati dengan prestasi dan komitmen atlet-atlet Sarawak sepanjang temasya SUKMA XVIII kali ini.

“Nak kata saya gembira tidak juga kerana saya gagal meraih kejayaan keseluruhan untuk negeri Sarawak, tetapi secara keseluruhannya atlet-atlet Sarawak telah menunjukkan komitmen dan prestasi yang membanggakan, saya cukup berpuas hati dengan prestasi atlet-atlet Sarawak pada temasya SUKMA XVIII ini,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai kemudahan sukan baharu itu, beliau memberitahu kini Sarawak mempunyai Pusat Akuatik yang baik, Lapang Sasar Menembak, Stadium Hoki, Gelanggang Petangue, Arena Boling Padang, Pusat Tenpin Boling, Trek BMX trek, Gelanggang Squash, Tenis dan banyak lagi.

“Saya percaya akan nampak (kemantapan atlet-atlet) dalam sukan-sukan tersebut masa akan datang dengan kemudahan yang baharu ini,” katanya.

Pada Sukma XVIII, Selangor muncul juara keseluruhan buat kali kesembilan selepas berjaya mengutip 59 pingat emas, 73 perak dan 63 gangsa.

Pasukan tuan rumah, Sarawak muncul naib juara dengan mengutip 57 emas, 43 perak dan 59 gang-sa diikuti pasukan Terengganu 46 emas, 41 perak dan 44 gangsa.

Sementara atlet olahraga, Khairul Hafiz Jantan dan atlet memanah Nur Aqilah Yusof masing-masing dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati SUKMA XVIII selepas kedua-dua berjaya me-mecah rekod kebangsaan.

Malah, SUKMA XVIII Sarawak turut menyaksikan enam rekod kebangsaan dan 57 rekod baharu berjaya dicipta.