Pastikan S’wak kekal kejuaraan

0
PAKAIAN RASMI: Fatimah dan Subramaniam (kiri) memperagakan pakaian rasmi Sukan Paralimpiad Ke-18 tajaan syarikat Tune Talk.

PAKAIAN RASMI: Fatimah dan Subramaniam (kiri) memperagakan pakaian rasmi Sukan Paralimpiad Ke-18 tajaan syarikat Tune Talk.

Fatimah nasihat atlet paralimpiad tidak terlalu selesa dan berusaha dengan lebih gigih

Oleh Harry Ilias //

Kelainan Upaya (OKU) Sarawak dinasihat tidak terlalu selesa dan berusaha dengan lebih gigih agar kontinjen negeri dapat mengekalkan kejuaraan kali ke-12 pada temasya Sukan Paralimpiad Ke-18 Sarawak 2016 yang akan bermula hari ini hingga 10 Ogos di sini.

Ia ditegaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sukan Paralimpiad Ke-18, Datuk Fatimah Abdullah semasa berucap pada simposium sempena Sukan Paralimpiad Ke-18 di salah sebuah hotel di sini, semalam.

“Sarawak adalah juara Sukan Paralimpiad sebanyak 11 kali.

Namun, kita turut menyedari kontinjen negeri lain mula mengejar dan berhasrat untuk menewaskan ” “ Sarawak kali ini.

“Justeru, saya mahu semua atlet tidak bersikap sambil lewa dan berusaha bersungguh- sungguh memastikan Sarawak dapat mengekalkan kejuaraan,” katanya ketika berucap.

Fatimah turut menyeru jurulatih agar terus giat mencungkil bakat baharu, mendedahkan mereka dengan latihan selain membimbing dan memberi galakan kepada atlet sedia ada agar terus mengekalkan kecemerlangan.

Bercakap lanjut, Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berharap isu kesilapan mengklasifikasikan atlet mengikut tahap kecacatan tidak berulang pada temasya kali ini.

“Kita telah belajar dari Sukan Paralimpiad Perlis 2014 di mana kesilapan semasa mengklasifikasikan atlet ini menyebabkan mereka tidak dapat bertanding.

“Bayangkan mereka telah berlatih dengan begitu lama dan tiba-tiba tidak dibenarkan bertanding sebaik tiba di venue.

Ini akan meninggalkan kesan emosi kepada atlet terbabit,” jelas Fatimah lagi.

Sehubungan itu, jelas Fatimah, satu bengkel mengklasifikasikan kecacatan atlet dengan tepat telah dianjur oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) di UNIMAS kelmarin dan disertai oleh para guru dan jurulatih.

Antara klasifikasi kecacatan adalah cacat penglihatan, cacat intelektual, cerebral palsy, kerusi roda dan lain-lain.

Menurutnya lagi, simposium selama sehari itu juga bertujuan mewujudkan kesedaran serta memberi galakan kepada mereka yang terlibat khususnya para atlet pada temasya Sukan Paralimpiad kali ini.

“Kita menyambut baik inisiatif oleh Majlis Paralimpik Malaysia dalam menganjur simposium ini yang bertujuan memberi galakan kepada warga yang terlibat dalam penganjuran Sukan Paralimpiad,” tambah beliau lagi.

Hadir sama Naib Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Laksamana Pertama Datuk Subramaniam Raman Nair dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Abdul Haris Ishak.