Amaran kecil KM bukti keseriusan kerajaan negeri

0
SEDIA: Nancy meniup wisel bagi menandakan bermulanya pertandingan tarik tali sempena acara penutupan Hari Aerobikton di SK Sg Stutong, semalam. Turut kelihatan, Guru Besar SK Sg Stutong Anai Johari (dua kanan), Penolong Kanan I Theresa Panyub (kanan) dan Yang Dipertua PIBG Md Sani Hasan (kiri).

SEDIA: Nancy meniup wisel bagi menandakan bermulanya pertandingan tarik tali sempena acara penutupan Hari Aerobikton di SK Sg Stutong, semalam. Turut kelihatan, Guru Besar SK Sg Stutong Anai Johari (dua kanan), Penolong Kanan I Theresa Panyub (kanan) dan Yang Dipertua PIBG Md Sani Hasan (kiri).

Sarawak bertanggungjawab terus mengingatkan persekutuan bahawa autonomi perlu diambil berat

Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Amaran kecil Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem terhadap proses rundingan kuasa dengan kerajaan persekutuan mencerminkan keseriusan kerajaan negeri memperjuang perkara tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, menjadi tanggungjawab kerajaan negeri terus mengingatkan kerajaan persekutuan bahawa perkara itu perlu diambil berat, bukan sekadar omong kosong.

Apatah lagi kata Nancy, kisah kuasa autonomi lebih besar diberikan kepada Sarawak adalah antara isu berkisar semasa kempen pilihan raya negeri baru-baru ini.

“Ketua Menteri bercakap dengan rasa tanggungjawab kepada rakyat Sarawak kerana pertama, rakyat berharap kepadanya bukan sekadar bercakap kosong, tetapi mengota janji dan kedua kerajaan persekutuan mendengar suara kita.

“Di samping itu, kita juga mengharap rakan sejawat kita di Semenanjung Malaysia memahami sentimen di sini. Kita bukan meminta lebih, tetapi apa yang sepatutnya diberi kepada kita akan menjadi hak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penutupan Hari Aerobikthon di Sekolah Kebangsaan (SK)N Sungai Stutong, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan portal berita dalam talian baru-baru ini berhubung kenyataan Adenan bahawa Barisan Nasional perlu menunjukkan ‘keputusan’ dalam perbincangan penurunan kuasa persekutuan kepada negeri ini, atau berdepan risiko kemenangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Nancy berkata, beliau percaya kemajuan dari proses rundingan itu boleh disaksikan menjelang hujung tahun ini.

Menurut beliau, mesyuarat pertama jawatankuasa autonomi negeri, yang ditubuhkan baru-baru ini, akan diadakan tidak lama lagi dengan kerajaan persekutuan.

“Kita tidak mahu percakapan semata-mata tetapi kita mahu memastikan aspirasi Sarawak diteliti sewajarnya kerana kita di Sarawak sudah tidak sabar melihat kemajuan, seperti dikecapi di Semenanjung Malaysia.

“Tetapi kita harus akui kebelakangan ini, kemajuan dari segi pembangunan adalah lebih cepat dari sebelum ini, hasil hubungan baik kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan pucuk pimpinan kerajaan persekutuan kerana memberi kerjasama baik setakat ini dalam perkara tersebut.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan penambahbaikan Seksyen 375 Kanun Keseksaan bagi memperluas definisi rogol dengan mengambil kira perbuatan memasuk objek atau organ lain selain kemaluan, Nancy berkata, usaha sedang diterus ke arah tersebut.

Menurut beliau, Jabatan Peguam Negara sedang menjalankan proses berkaitan termasuk berunding dengan profesional dalam bidang perubatan.

“Lazimnya dalam merangka undang-undang, meskipun perkara kecil sekalipun, ia perlu melibatkan sejumlah individu.

“Saya percaya proses ini masih diteruskan, cuma menunggu masa (dilaksana) kerana apabila saya menyerahkan portfolio (undang-undang) Datuk Seri Azalina Othman Said, kita mahu perkara ini, antara lain, dipercepatkan,” katanya.

Mahkamah Rayuan tahun lepas, membebaskan Bunya Jalong, 60, dari dakwaan merogol anaknya berusia 14 tahun pada tahun 2011 dengan alasan tiada penetrasi zakar berlaku dan penetrasi jari serta benda asing tidak dianggap rogol.

Keputusan itu dibuat walaupun ujian DNA terhadap anak dilahirkan mangsa sepadan dengan tertuduh.