SPRM ambil keterangan enam saksi dakwaan penyelewengan lumba basikal SUKMA

0

KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil keterangan daripada enam saksi berhubung dakwaan penyelewengan dalam penganjuran acara lumba basikal Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-18 Sarawak yang lepas.

Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Badrul Shah ketika dihubungi semalam berkata enam saksi yang telah diambil keterangan ini termasuk seorang pegawai persatuan berbasikal negeri.

“Kita telah mengambil keterangan daripada enam saksi termasuk seorang pegawai persatuan berbasikal negeri bermula Isnin lepas bagi menentukan sama ada wujudnya elemen penyelewengan berhubung isu ini.

“Bagaimanapun, buat masa ini saya tidak dapat mendedahkan maklumat yang telah direkodkan dan akan meneruskan siasatan bergantung kepada keterangan daripada saksi,” katanya.

Penganjuran SUKMA Ke-18 Sarawak yang baharu berakhir dikejutkan dengan dakwaan berlakunya penyelewengan melibatkan peruntukan bernilai RM1 juta daripada kerajaan negeri bagi menaik taraf trek basikal lasak dan BMX di Bukit Siol, Petra Jaya dekat sini.

Selain itu, isu gerbang garisan permulaan dan penamat acara berbasikal lebuh raya yang menggunakan perancah besi turut menjadi viral dan mendapat kritikan ramai kerana tidak menepati standard perlumbaan bertaraf kebangsaan.

Selain mengambil keterangan enam saksi, SPRM sebelum itu turut merampas beberapa dokumen daripada dua premis yang diserbu Isnin lalu termasuk pejabat sebuah persatuan lumba basikal di sini.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga Menteri Muda Belia dan Sukan mengalu-alukan siasatan oleh SPRM.

Beliau turut meminta SPRM memberi bayangan apakah bentuk siasatan yang dijalan membabitkan persatuan tersebut kerana pada pemerhatian beliau, persatuan itu telah ditadbir urus dengan baik.