Penjelasan Petronas berhubung isu penstrukturan perniagaannya dialukan

0

BETONG: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengalu-alukan penjelasan daripada Petronas berhubung isu penstrukturan semula perniagaan yang membawa kepada tindakan moratorium ke atas pengeluaran permit kerja bagi pekerja Petronas berasal dari luar Sarawak.

Menurutnya, penjelasan itu disampaikan Petronas menerusi pertemuan antara beliau disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohd Morshidi Abdul Ghani dengan pengurusan tertinggi syarikat minyak dan gas negara itu.

Malah penjelasan daripada Petronas juga wajar bagi menge-tahui adakah dalam penstrukturan semula perniagaan itu, kumpulan tenaga kerja warga Sarawak dipinggirkan dan di-letakkan dalam golongan pertama diberhentikan kerja.

“Mereka (Petronas) akan berjumpa dengan SS (Morhsidi) dan saya sebelum bertemu dengan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem).

“Isu ini amat mudah. Ia mengenai kedudukan pekerja Petronas di Sarawak kerana sebelum ini wujud dakwaan berlaku ketidakadilan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Betong di sini, semalam.

Sebelum ini Suarah Petroleum Group (SPG) menyatakan Petronas dalam proses penstrukturan semula telah menghapuskan 29 jawatan yang membabitkan 13 kakitangan berpengalaman dari Sarawak.

“Jika benar isu berhubung pemberhentian itu, kita mahu ia diselesaikan secara baik. Apa yang kita hendak ialah ketelusan dan keadilan,” katanya.