Syabas Sarawak!

0

Kontinjen negeri membuktikan keunggulan apabila muncul juara keseluruhan Sukan Paralimpiad Ke-18

TAHNIAH: Ketua Kontinjen Sarawak, Dr Abdul Rahman Ismail (tiga kiri) menjulang trofi juara keseluruhan pada penutupan Sukan Paralimpiad Ke-18 Sarawak 2016 di Stadium Perpaduan Negeri, malam tadi. Turut kelihatan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (dua kiri), Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah (kiri) dan Penolong Ketua Kontinjen Sarawak, Abang Samshuddin Abang Seruji (kanan). — Gambar Jeffery Mostapha

TAHNIAH: Ketua Kontinjen Sarawak, Dr Abdul Rahman Ismail (tiga kiri) menjulang trofi juara keseluruhan pada penutupan Sukan Paralimpiad Ke-18 Sarawak 2016 di Stadium Perpaduan Negeri, malam tadi. Turut kelihatan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (dua kiri), Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Fatimah Abdullah (kiri) dan Penolong Ketua Kontinjen Sarawak, Abang Samshuddin Abang Seruji (kanan). — Gambar Jeffery Mostapha

// Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Kontinjen Sarawak menepati ramalan apabila muncul juara keseluruhan Sukan Paralimpiad Ke-18 2016 yang melabuhkan tirainya di sini, semalam.

Kejayaan manis itu sekali gus menebus kehampaan tuan rumah untuk menjuarai temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-18 yang berakhir hujung Julai lalu.

Selepas bersaing hebat selama lima hari dalam sembilan acara sukan, kontinjen Sarawak yang mempertaruh seramai 201 atlet berjaya mengaut 84 pingat emas, 63 perak dan 73 gangsa untuk mengesahkan kejuaraan kali ke-12 pada temasya dwitahunan itu.

Pencapaian itu juga membolehkan kontinjen Sarawak melepasi sasaran 80 pingat emas yang disasarkan.

Untuk rekod, Sarawak menjuarai Sukan Paralimpiad pada 1994, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2008, 2010, 2012 dan 2014.

Kontinjen Johor di tempat kedua dengan 35 emas, 25 perak dan 15 gangsa diikuti Terengganu dengan 30 emas, 24 perak dan 19 gangsa.

Renang menjadi penyumbang terbesar pingat Sarawak dengan 39 emas, 17 perak dan 11 gangsa untuk meletakkan tuan rumah muncul juara keseluruhan acara tersebut.

Meskipun gagal menyamai pencapaian di Perlis dengan 44 emas, prestasi perenang Sarawak tetap membanggakan apabila berjaya melepasi sasaran 38 emas.

Olahraga menyumbang emas kedua terbanyak dengan 24 emas, 36 perak dan 44 gangsa.

Sarawak turut muncul juara keseluruhan dalam acara tenpin boling dengan merangkul sembilan emas, dua perak dan sembilan gangsa dan angkat berat dengan enam emas, tiga perak dan dua gangsa.

Kontinjen Sarawak Sukan Paralimpiad Ke-18 2016

Kontinjen Sarawak Sukan Paralimpiad Ke-18 2016

Kejayaan tebus kehampaan pada SUKMA

Atlet tuan rumah turut cemerlang dalam acara pingpong apabila berjaya meraih lima emas, satu perak dan satu gangsa, badminton menyumbang satu emas, satu perak dan satu gangsa dan catur dengan tiga perak dan empat gangsa.

Manakala acara memanah dan boling padang gagal menyumbang apa-apa pingat.

Temasya kali ini turut memperlihatkan peningkatan prestasi atlet yang bertanding menyaksikan 50 rekod lama kejohanan termasuk dua rekod kebangsaan dalam acara angkat berat berjaya diperbaharui.

Acara renang paling mencuri tumpuan apabila 46 rekod lama diperbaharui dengan 16 daripadanya dicatat oleh perenang Sarawak.

Pemecah rekod lain antaranya perenang dari Pulau Pinang, Terengganu, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Kedah dan Selangor.

Sementara itu, atlet angkat berat Sarawak Endi Bak dan Vision Jasnie dari Pahang berjaya memadam rekod kebangsaan dalam acara tersebut.

Endi mencatat angkatan seberat 107kg dalam kategori tidak melebihi 54kg lelaki untuk memadam rekod lama seberat 105kg.

Manakala Vision memperbaharui rekod kategori tidak melebihi 65kg lelaki selepas melakukan angkatan seberat 148kg mengatasi rekod 147kg yang dicatat sebelum ini.

Tiga lagi rekod baharu kejohanan dicatat oleh atlet angkat berat dari Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Sehubungan itu, kejayaan atlet renang Yoong Chung Wei dari Pulau Pinang dan Lim Carmen dari Selangor memecah empat rekod kejohanan membolehkan keduanya ditabal Olahragawan dan Olahragawati Kejohanan.

Yoong, 21, memecah rekod kejohanan dalam acara 50m Kuak Dada SB14, 100m Kuak Kupu-Kupu S14, 100m Kuak Dada SB14 dan 100m Kuak Lentang S14 lelaki.

Manakala, Lim, 16, memadam rekod lama dalam acara 50m Kuak Dada SB8, 50m Gaya Bebas S8, 100m Kuak Dada SB8 dan 100m Gaya Bebas S8 Wanita.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin merasmikan penutupan kejohanan di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak malam tadi.