Friday, April 26

Badminton: 10 pasukan bersaing rebut Piala Pengurus Besar BDA

0

BINTULU: Sebanyak 10 pasukan dari jabatan kerajaan dan jemputan bersaing pada Kejohanan Badminton Berpasukan Piala Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan sembilan pasukan lagi bersaing beregu terbuka Bawah 14 Tahun di Gelanggang Badminton Pusat Sukan Kidurong semalam.

Kategori jabatan kerajaan dan jemputan melibatkan pasukan BDA, Penjara Bintulu, Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB), Medical, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB), Malaysia LNG (MLNG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Penolong Pengurus Besar (Khidmat Alam Sekitar) BDA, Wan Ibrahim Wan Ali berkata, BDA menganjur kejohanan itu selama tujuh tahun dan dengan penyertaan menggalakkan kejohanan itu akan diteruskan untuk tempoh masa akan datang.

“Tahun ini kategori baharu membabitkan pemain berumur bawah 14 tahun diperkenalkan dengan disertai sembilan pasukan dan pada masa akan datang jumlah penyertaan kategori itu akan dipertingkatkan,” katanya berucap mewakili pengurus besar BDA pada majlis perasmian semalam.

Turut hadir Setiausaha Politik Ahli Parlimen Bintulu, Zaiedy Nor Abu Nasir dan pengerusi penganjur, Husna Shyafeeqa Hamdan @ Prisca.

Beliau berharap pemain-pemain menyertai pertandingan itu dapat bersaing dengan penuh semangat kesukanan tinggi.